Anda di sini

Tiga rumah ibadat dalam zon hijau di Bintulu dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun ini

Advertisement
Gambar fail Bernama 

KUCHING: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan operasi tiga rumah ibadat bukan Islam di Sarawak, bermula 10 Jun ini.

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, tiga rumah ibadat itu HOPE Bintulu, IFGF Bintulu dan IFGF Sungai Plan, Bintulu di bawah badan agama National Evangelical Christian Fellowship Malaysia. 

Jelasnya, tiga rumah ibadat itu merupakan antara 174 rumah ibadat bukan Islam dalam kawasan zon hijau dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan melalui mesyuarat khas tersebut yang diadakan pada 21 Mei lalu. 

Kelulusan itu adalah mengikut ketetapan tatacara pengendalian piawai (SOP) seperti bilangan kehadiran maksimum 30 orang dan tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat. 

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara turut mengingatkan hanya rumah ibadat yang mendapat kelulusan mengikut hari dan masa beroperasi dibenarkan bermula pada 10 Jun ini.

Menurutnya lagi, urusan perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan sehingga 31 Julai 2020, berdasarkan kepada surat Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bertarikh 12 Mei 2020.

Selain itu, pembukaan rumah ibadat yang lain perlu dipohon melalui badan agama masing-masing dan seterusnya dikemukakan kepada kementerian mengikut prosedur yang ditetapkan selepas 10 Jun 2020.

Permohonan yang diterima akan dibawa kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk kelulusan dari semasa ke semasa.

  • oleh
  • Advertisement