Anda di sini

Petanda baik jika Liga Super boleh diteruskan

Advertisement
 Kurniawan bersama keluarga beraya di Sabah sahaja kerana COVID-19.
SELAMAT HARI RAYA: Kurniawan bersama keluarga beraya di Sabah sahaja kerana COVID-19.

 

KOTA KINABALU: Ia adalah berita petanda baik jika Liga Super yang sebelum ini ditangguhkan akibat penularan pandemik wabak COVID-19 akan disambung semula.

Apabila liga utama bola sepak itu boleh diteruskan, ia juga bermakna keadaan negara sudah semakin membaik dari krisis COVID-19.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memohon kepada kerajaan untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga Super dan Liga Premier) pada September depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac.

Bagaimanapun, belum ada pengesahan atau pengumuman rasmi dibuat berhubung permohonan  MFL itu di mana permohonan itu akan bergantung kepada situasi semasa negara dari krisis COVID-19.

Sukar memastikan bila krisis COVID-19 ini akan berakhir tetapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu sudah dilonggarkan kepada PKP Bersyarat (PKPB) di mana beberapa sukan juga sudah dibenarkan kecuali yang melibatkan ramai orang termasuk bola sepak.

Bagi ketua jurulatih Tambadau Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, ia adalah berita baik yang diharapkan jika Liga Super boleh diteruskan.

Sementara itu katanya, pasukan akan terus buat persiapan walaupun pemain terpaksa hanya menjalani latihan di rumah masing-masing sejak PKP dikuatkuasakan yang kini kini dilanjutkan kepada PKPB sehingga 9 Jun depan.

"Program latihan yang mana buat masa ini dilakukan pemain di rumah masing-masing akan bersambung semula minggu depan (selepas cuti Aidilfitri), kita mahu mereka benar-benar cergas sekiranya saingan liga disambung semula September nanti," katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Kurniawan turut berharap agar permohonan mereka untuk menggunakan padang bagi menjalani latihan akan diluluskan cepat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mereka akan akur segala keputusan yang dibuat kerajaan demi kebaikan bersama.

"Kita akan tetap ikut arahan daripada kerajaan kerana kesihatan adalah nombor satu dan penting untuk para pemain," katanya.

Sambil itu, Kurniawan berkata, sambutan Aidilfitri beliau pada tahun ini agak berbeza seperti sebelum ini kerana hanya menyambutnya di rumah bersama isteri dan anak-anak.

"Bagaimanapun, perasaan rindu kepada keluarga dan sahabat di Indonesia sedikit terubat dengan sidang video yang kami buat sempena Aidilfitri ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement