
MIRI: Dua pesakit terakhir COVID-19 yang menerima rawatan di Hospital Miri di sini dibenarkan discaj pada Rabu.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin dalam satu kenyataan, hari ini.
"JPBB Miri pada mesyuarat pagi ini dengan senang hati mendengar perkhabaran gembira dari Hospital Miri dimana dua pesakit terakhir COVID-19 yang menerima rawatan di sini dibenarkan discaj semalam (Rabu).
"Kami berasa gembira untuk kedua-dua pesakit ini yang telah sembuh dan kami ingin mengucapkan tahniah dan mendoakan kesihatan dan kebahagiaan yang baik di sepanjang musim perayaan," katanya dalam kenyataan tersebut.
Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata jawatankuasa itu berterima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua pegawai perubatan, petugas barisan hadapan dan semua yang terlibat dengan penuh dedikasi, komitmen, dan tekun dalam menangani cabaran COVID-19 yang kompleks.
"Dalam menentang sebarang kemungkinan, kita berjaya menukar Miri ke status zon hijau sejak 9 Mei dan pada 27 Mei, dua pesakit COVID-19 yang terakhir dibenarkan discaj dengan baik.
"Jawatankuasa ini ingin meminta semua orang untuk terus berwaspada dan patuh pada prosedur pengendalian standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)," ujarnya.
Lee menambah pertarungan menentang COVID-19 belum lagi berakhir, malah beliau meminta masyarakat untuk kekal fokus dan bersatu padu bagi memastikan kejayaan berterusan dalam perang menentang COVID-19.