Anda di sini

Zverev akan menyertai kejohanan di Balkan bulan depan: Djokovic

Advertisement
DJOKOVIC
DJOKOVIC

BELGRADE, Serbia: Pemain tenis nombor tujuh dunia, Alexander Zverev, akan menyertai kejohanan di Balkan bulan hadapan, meningkatkan lagi reputasi kejohanan dengan barisan pemain terkenal untuk datang ke Belgrade ketika musim profesional tenis tertangguh akibat pandemik koronavirus.

“Berita hebat yang saya mahu umumkan ialah Sasa Zverev, Alexander Zverev akan datang ke Belgrade,” kata Novak Djokovic, penganjur kejohanan pada sidang media di sini pada Isnin.

Zverev akan menyertai pemain ranking ketiga dunia, Dominic Thiem dan Grigor Dimitrov (19) pada kejohanan dari 13 hingga 14 Jun untuk hentian pertama Jelajah Adria.

“Tiga bintang tenis dunia akan datang. Saya benar-benar berterima kasih kepada mereka,” kata Djokovic.

Sama ada penonton akan dibenarkan hadir masih belum dapat diputuskan.

“Saya berharap ada peraturan akan diubah menjelang 13 Jun dan mungkin kami akan mendapat peluang untuk melihat penonton hadir,” kata Djokovic.

“Sudah tentu, semua ini belum pasti, seperti banyak perkara lain berkaitan disebabkan koronavirus.”

Jelajah Adria, yang diumumkan Djokovic pada ulang tahun kelahiran ke-33 beliau minggu lepas, akan berlangsung dari 13 hingga 5 Julai di Serbia, Croatia, Montenegro dan Bosnia di permukaan tanah liat.

Wang dari jelajah itu akan disumbangkan kepada pelbagai badan amal.

“Ia tentang kemanusiaan. Semua pendapatan, sama ada datang dari kontrak penaja, hak penyiaran antarabangsa dan tempatan, semuanya akan diserahkan kepada organisasi kemanusiaan,” kata beliau kepada sidang media.

Ditanya tentang tahap kecergasan beliau sendiri, Djokovic berkata beliau sudah berlatih sepanjang tempoh pengurungan di Sepanyol, di mana beliau tinggal bersama keluarganya di Marbella.

“Saya memiliki gelanggang tenis, jadi saya dapat berlatih setiap hari,” kata beliau.

Jelajah tenis profesional lelaki dan wanita (ATP/WTA), tertangguh sejak bulan Mac dan hanya akan dapat disambung semula sehingga sekurang-kurangnya akhir bulan Julai, dengan kejohanan Terbuka Perancis telah ditangguhkan ke bulan September sementara kejohanan Wimbledon telah dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia ke-II.

Negara-negara Balkan sudah menangani pandemik COVID-19 dengan agak berjaya, dengan kira-kira 20,00 jangkitan dan sekitar 660 kematian di rantau dengan kira-kira 22 juta populasi. — AFP

Advertisement