Anda di sini

Polis Johor patahkan cubaan seludup dadah bernilai RM1.9 juta

Advertisement
 Ayob Khan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Ayob Khan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Polis berjaya mematahkan cubaan seludup 47.6 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.9 juta yang disimpan dalam sebuah bot di Teluk Sengat, Kota Tinggi, dekat sini, Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dua lelaki tempatan berusia 22 dan 29 tahun ditahan awal pagi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah bersama Bahagian Siatasan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Selain dadah, polis juga menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah motosikal jenis Yamaha LC, satu bot fiber dan satu enjin bot jenis Yamaha yang bernilai keseluruhan RM73,000.

“Dadah ini dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur. Mereka mengaburi mata pihak berkuat kuasa dengan mengubah suai lantai bot untuk menyimpan dadah sebelum diseludup ke Indonesia.

“Mereka (sindiket) juga dipercayai hendak menyeludup dadah ini sejak Mac lagi tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) niat mereka tergendala dan sekarang selepas dua bulan, baru mereka dapat menyeludup,” katanya dalam sidang media, di sini, kelmarin.

Ayob Khan berkata ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek itu didapati negatif dadah namun seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah.

Kedua-dua suspek kini sedang direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sehingga hari ini, polis masih melancarkan operasi susulan bagi mengesan dan menangkap saki baki anggota sindiket penyeludupan dadah terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan kes lain, beliau memaklumkan sebanyak 129 kompaun telah dikeluarkan terhadap individu yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri pada sambutan Aidilfitri, Ahad.

Katanya, dalam tempoh sama, polis juga telah mengarahkan sebuah premis kilang ditutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB ditetapkan.

“Penutupan ini adalah hasil pemeriksaan terhadap beberapa premis perniagaan dan pejabat, pasar awam dan terminal pengangkutan awam, pusat riadah dan pusat ibadat,” katanya. — Bernama

Advertisement