Anda di sini

Pemimpin Hong Kong cuba yakinkan pelabur gusar dengan undang-undang baharu China

Advertisement
 Polis menangkap penunjuk perasaan yang membantah rancangan China untuk               melaksanakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong pada 24 Mei lalu. — Gambar AFP
TANGKAP: Polis menangkap penunjuk perasaan yang membantah rancangan China untuk melaksanakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong pada 24 Mei lalu. — Gambar AFP

HONG KONG: Rancangan China untuk melaksanakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong “hanya menyasari segelintir pelanggar undang-undang sahaja”, kata pemimpin bandar raya itu semalam, ketika beliau cuba memberi jaminan kepada pelabur dan perniagaan antarabangsa yang bimbang mengenai cadangan tersebut.

Beijing mahu melaksanakan rang undang-undang yang melarang “pemisahan, subversi, terorisme dan campur tangan asing” di hab kewangan antarabangsa itu selepas protes prodemokrasi besar-besaran yang selalunya ganas berlaku selama berbulan-bulan pada tahun lepas.

Ramai warga Hong Kong, kumpulan perniagaan dan negara Barat bimbang saranan itu akan memberi tamparan maut kepada kebebasan yang amat dihargai di bandar raya itu dan menamatkan kebenaran kepada bandar raya separa autonomi itu untuk meluluskan undang-undang-nya sendiri.

Pengumuman rancangan bagi undang-undang baharu – yang akan dirangka oleh Beijing dan melangkaui dewan undangan Hong Kong – mencetuskan penurunan terbesar di bursa saham bandar raya tersebut dalam tempoh lima tahun pada Jumaat lepas.

Namun Carrie Lam berkata kebimbangan bahawa kebebasan yang mesra perniagaan di bandar raya itu berdepan dengan risiko adalah “tidak berasas sama sekali”.

“Kebebasan Hong Kong akan dipelihara, dan semangat serta tenaga Hong Kong dan nilai teras dari segi keluhuran undang-undang, kebebasan badan kehakiman, pelbagai hak dan kebebasan yang dinikmati rakyat, akan sentiasa ada,” kata Lam kepada pemberita.

Undang-undang yang di-usulkan, tambahnya, “hanya menyasari segelintir pelanggar undang-undang sahaja. Ia melindungi majoriti besar penduduk yang mematuhi undang-undang dan cintakan keamanan.”

Hong Kong diterbalikkan pada tahun lepas oleh protes prodemokrasi besar-besaran yang selalunya ganas selama tujuh bulan, dicetuskan oleh kebimbangan yang semakin meningkat saban tahun bahawa Beijing sedang menghakis kebebasan di bandar raya itu.

Jutaan warga kota raya itu memenuhi jalan-jalan untuk menyertai rapat umum yang biasanya berakhir dengan pertelingkahan antara polis rusuhan dan kumpulan penunjuk perasaan kecil yang militan dan menggunakan bom minyak.

Beijing menggambarkan protes itu sebagai satu komplot yang disokong oleh kuasa asing untuk menggugat kestabilan tanah air dan mewajarkan undang-undang keselamatan sebagai cara untuk membanteras “terorisme” dan seruan bagi kemerdekaan.

Penunjuk perasaan berkata rapat umum mereka merupakan satu-satunya cara untuk menyuarakan tentangan di sebuah bandar raya tanpa hak mengundi yang sejagat.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan pada Ahad lepas setelah pengumuman dibuat tentang undang-undang keselamatan dan dileraikan oleh gas pemedih mata dan meriam air dalam pertelingkahan terburuk sejak beberapa bulan lalu.

Kandungan sebenar undang-undang keselamatan itu belum lagi didedahkan tetapi parlimen China meneliti butiran awal pada minggu lepas.

Ia dijangka meluluskan draf undang-undang itu esok (Khamis) dan penganalisis berkata ia mungkin akan dikuatkuasakan pada musim panas.

Perkara yang khususnya membimbangkan adalah satu peruntukan yang membenarkan ejen keselamatan China untuk beroperasi di Hong Kong, dengan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan tindakan ke atas mereka yang menyuarakan tentangan kepada pemerintah komunis di China.

Undang-undang subversi biasanya digunakan ke atas pengkritik di tanah besar.

Apabila ditanya oleh pemberita sama ada polis tanah besar dapat menangkap pe-nunjuk perasaan ataupun tidak di Hong Kong, Lam menepis soalan tersebut sebagai “imaginasi anda”.

Beliau berkata protes anti-kerajaan akan terus dibenarkan “jika ia dibuat dengan cara yang sah di sisi undang-undang” tetapi tidak pula memberikan penjelasan mengenai pandangan yang dianggap salah di bawah undang-undang baharu. — AFP

Advertisement