Anda di sini

Konvoi rentas daerah tanpa kebenaran, 25 penunggang motosikal dikompaun 

Advertisement
Kesemua penunggang motosikal terbabit dikompaun kerana ingkar SOP PKPB.
Kesemua penunggang motosikal terbabit dikompaun kerana ingkar SOP PKPB.

KUCHING: Seramai 25 penunggang motosikal dikompaun gara-gara konvoi merentasi daerah Kota Samarahan-Simunjan tanpa kebenaran polis pada Selasa.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata kesemua penunggang motosikal terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Kilometer 1 Jalan Tun Openg, Simunjan sekitar jam 2 petang.

Menurutnya, semasa diperiksa didapati kesemua mereka berasal dari Kota Samarahan dan terdiri daripada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

"Selain itu mereka turut gagal memberikan alasan munasabah dan menunjukkan  surat kebenaran polis untuk merentas daerah (Simunjan). Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Simunjan untuk dikompaun (RM1,000)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

DEV 

Jelasnya, mereka dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan).

"Siasatan mendapati mereka mengaku hanya bersiar-siar dengan menunggang motosikal dari Kota Samarahan ke Simunjan kerana sudah lama tidak menunggang motosikal.

"Selesai urusan mengeluarkan kompaun, mereka semua diarahkan balik ke Kota Samarahan melalui Jambatan Sadong," kata Dev.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menetapkan prosedur pengendalian standard (SOP) tidak membenarkan pergerakan rentas daerah kecuali dengan kebenaran polis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


 

  • oleh
  • Advertisement