Anda di sini

Hollywood cari jalan untuk kembalikan acara permaidani merah

Advertisement
 

TAYANGAN perdana permaidani merah merupakan kemuncak bagi mana-mana acara publisiti blockbuster baharu Hollywood.

Rombongan senarai A mereka, peminat yang berpadat-padat, dan jurugambar dunia hiburan yang berebut-rebut untuk mendapatkan gambar sempurna bintang glamor, juga merupakan igauan bagi penjarakan sosial.

Namun dengan sekatan koronavirus yang dilonggarkan di California, dan filem besar seperti ‘Tenet’ yang mengintai tarikh keluaran pada Julai, guru-guru pemasaran di Tinseltown sedang berusaha sedaya sedaya upaya untuk mencari jalan membentangkan permaidani merah tersebut sekali lagi dengan selamat.

“Sebelum apa yang kita alami, ia adalah mengenai menarik banyak perhatian dan menghimpunkan orang ramai dan berkongsi dengan seramai mungkin orang untuk membantu menyebar keterujaan,” kata Elizabeth Tramontozzi, dari perancang acara Hollywood terkemuka 15|40 Productions.

“Ia dijangka amat berbeza sekali dalam kita melangkah ke depan,” katanya kepada AFP.

Syarikat itu, yang membina set penggambaran ‘Game of Thrones’ yang epik di New York untuk finale siri pada tahun lepas dan pernah mengusahakan tayangan perdana yang mewah untuk filem-filem Disney di Hollywood Boulevard, telah menghabiskan masa sewaktu sekatan pergerakan dengan melakar reka bentuk baharu.

Ini termasuk perintang kaca pleksi di antara wartawan, “pod” tertutup untuk temuramah menerusi pautan video, dan zon turun di mana peminat yang telah dipilih lebih awal muncul di atas skrin LED untuk bercakap dengan bintang-bintang.

Rombongan akan disuruh untuk memasuki teater yang melaksanakan penjarakan sosial menerusi “lorong-lorong pintas” yang mengosongkan permaidani merah untuk bintang-bintang sahaja.

Pemeriksaan suhu bagi semua tetamu sedang dipertimbangkan, manakala peminat akan dilarang dari segi fizikal daripada menghadiri acara.

“Kita perlu mengurung diri terlebih dahulu supaya orang tidak berkumpul di laluan jalan kaki dan menyaksikan acara,” kata presiden 15|40 Craig Waldman.

Dengan semua orang yang dijarakkan di sekitar permaidani, “permaidani itu hanya akan lebih luas sedikit dan permaidani itu akan lebih panjang sedikit,” tambahnya.

Walaupun demikian, pegawai publisiti tidak menjangkakan parti selepas tayangan perdana yang mewah di Los Angeles  – serta bufet dan bar terbukanya yang sesak – untuk kembali selama beberapa bulan, atau mungkin sehingga vaksin muncul.

Pengalaman perendaman ‘pop-up’, bahagian yang semakin meningkat dalam jentera publisiti Hollywood, mungkin juga perlu difikirkan semula, dengan fokus sekarang semata-mata kepada usaha membina kesedaran dan bukannya menarik orang ramai.

Lebih penting, dengan gergasi penstriman seperti Netflix dan Amazon yang terus melancarkan tajuk-tajuk besar sewaktu sekatan pergerakan, populariti lawatan media “maya” di mana temuramah dikendalikan sepenuhnya dalam talian kini semakin meningkat.

15|40 telah mewujudkan sebuah studio bergerak dalam sebuah treler yang dapat diangkut di antara rumah-rumah bintang filem, dan dipasang dengan jenama mana-mana filem atau program televisyen yang sedang dilancarkan.

Syarikat itu malah sudah merangka rancangan bagi tayangan perdana “pandu lalu”, di mana selebriti meletakkan kereta di barisan depan atau duduk di atas selimut berkelah yang berjenama untuk berinteraksi dengan peminat menerusi pautan kamera.

Walaupun demikian, hampir kesemua filem blockbuster terbesar pada tahun ini telah ditangguhkan sehingga pawagam tradisional dibuka semula, dan pegawai publisiti ingin sekali kembali ke tempat terkenal seperti TCL Chinese Theatre di Hollywood Boulevard untuk acara pelancaran mereka.

“Jujur sahaja, orang sudah bosan duduk di rumah,” kata Waldman.

Sementara tayangan perdana yang gilang-gemilang mungkin menjengkelkan pada waktu orang sedang mati dan pengangguran melambung tinggi, acara-acara sukan dan hiburan penting boleh menarik perhatian yang dialu-alukan untuk peminat yang gila-gila, tambahnya.

“Orang sekarang boleh dikatakan laparkan sesuatu untuk membuat kehidupan mereka rasa normal.”

Ujian besar adalah filem terbitan Warner Bros, ‘Tenet’, filem aksi bajet mega terbaharu dari pengarah Christopher Nolan (‘Inception’, ‘The Dark Knight’) yang dilaporkan sedang berusaha gigih untuk menjadi filem blockbuster Hollywood pertama yang kembali ke pawagam.

Sehubungan itu, tarikh keluarannya pada 17 Julai di Amerika Syarikat belum lagi dianjak.

“Saya benar-benar berharap ia akan berlaku – kita tahu banyak mata sedang tertumpu kepadanya, dan kami teruja mengenainya,” kata Waldman, yang sedang mengusahakan tayangan perdana itu.

“Kami menghabiskan banyak masa untuk menghasilkan rancangan yang kita telah hasilkan, untuk membuat persekitaran yang selamat bagi studio, bagi media, dan bagi bakat … Semua kita mahu kembali bekerja juga.” — AFP

Advertisement