Anda di sini

Bilik penuh asap, dua individu diselamatkan di Kota Samarahan

Advertisement
Mangsa yang cedera diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Pusat Jantung. - Gambar ihsan bomba 

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak untuk rawatan selepas dikatakan terperangkap di dalam bilik yang dipenuhi asap pada Selasa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pusat komersial di Jalan Dato Mohamad Musa sekitar jam 4.50 petang.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan berlaku kebakaran di dalam sebuah bilik dan terdapat dua orang mangsa di dalamnya.

"Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan terdapat dua orang dewasa membakar kotak di dalam bilik berhampiran pintu dan menguncikan pintu dari dalam.

"Pasukan bomba dan polis berjaya memujuk mangsa untuk membuka pintu dan mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, seorang wanita dipercayai warga asing yang turut berada di dalam bilik tersebut dibawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.

Operasi oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan tamat sepenuhnya pada jam 5.54 petang.

  • oleh
  • Advertisement