Anda di sini

SAFA setuju pembatalan Piala Presiden dan Piala Belia

Advertisement
PETER ANTHONY
PETER ANTHONY

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersetuju dengan pembatalan kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata demikian ketika ditanya permohonan sekretariat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan kejohanan untuk pemain bawah 21 tahun (Piala Presiden) dan bawah 19 tahun (Piala Belia) berkenaan baru-baru ini.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrstruktur berkata, ia adalah keputusan yang baik demi keselamatan pemain dan penonton.

"Kedua-dua kejohanan ini diadakan di venue terbuka...masuk adalah percuma. Oleh itu ia amat berisiko jika diteruskan kerana krisis COVID-19 yang masih menular di seluruh dunia termasuk negara kita," kata Peter ketika ditemui di sini dua hari lalu.

Sehubungan dengan itu katanya, kontrak pemain kedua-dua skuad muda itu dengan SAFA juga akan ditamatkan lebih awal iaitu pada Jun ini.

Sebagai rekod, saingan Piala Presiden dan Piala Belia telah berlangsung empat hingga lima perlawanan sebelum diberhentikan bermula 16 Mac lalu ekoran penularan pandemik wabak COVID-19.

Ia disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac dan masih berkuatkuasa tetapi kini sebagai PKP Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan.

"Kita tidak tahu bila krisis COVID-19 ini akan berakhir. Bagaimanapun, para pemain dua kejohanan itu akan tetap diberi peluang untuk kembali beraksi bersama pasukan sekiranya mereka masih mahu bermain pada tahun depan.

"Sekarang ini pun ada di kalangan mereka yang telah pulang ke rumah masing-masing dan kita harapkan usaha bakat-bakat muda ini tidak akan terhenti, teruskan usaha dan kekalkan kecergasan diri masing-masing, mudah-mudahan tahun depan mereka dapat beraksi lagi," katanya.

Katanya, pemain pasukan Piala Presiden juga masih berpeluang untuk terus bersama pasukan walaupun telah melebihi had umur pada tahun hadapan kerana had umur Piala Presiden 2021 dinaikkan kepada bawah 22 tahun oleh FAM pada tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Peter berkata, SAFA juga masih menunggu keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sama ada Liga Super akan diteruskan atau tidak.

"Buat masa ini kesemua pemain juga masih menjalani latihan kecergasan di kediaman masing-masing.

"Secara dasarnya apa yang kami difahamkan, liga mungkin diteruskan pada September atau Oktober tapi kami akan tunggu keputusan daripada FAM sebelum mengambil langkah-langkah perlu untuk pasukan,"  kata Peter.

  • oleh
  • Advertisement