Anda di sini

Lelaki mabuk ingkar PKPB, keluar kata kesat kepada polis diberkas

Advertisement
Kereta yang digunakan suspek yang ditahan dalam sekatan jalan raya, awal pagi tadi. - Gambar ihsan polis

KUCHING: Seorang lelaki dipercayai mabuk diberkas selepas mengeluarkan kata-kata kesat kepada penjawat awam yang bertugas di sekatan jalan raya di Jalan Lapangan Terbang Kuching, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata suspek, 24, terdahulunya ditahan untuk pemeriksaan kerana disyaki melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekitar jam 3.15 pagi.

Menurutnya, semasa diperiksa suspek enggan memberikan kerjasama.

"Dipercayai dia mabuk dan enggan memberikan kerjasama serta turut mengeluarkan perkataan kesat dan marah-marah kepada petugas semasa pemeriksaan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian juga gagal memberikan alasan munasabah kerana merentasi sempadan daerah (Kuching-Padawan).

"Susulan itu, dia ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang," katanya.

Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Nasihat kita ialah patuh kepada kepada PKPB dan orang ramai juga diingatkan supaya tidak memandu semasa mabuk untuk mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement