Anda di sini

Lelaki ditahan bersama 42 kotak rokok seludup

Advertisement
 Rokok dipercayai tidak bercukai sebanyak 42 kotak yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS: Rokok dipercayai tidak bercukai sebanyak 42 kotak yang dirampas daripada suspek.

SIPITANG: Seorang lelaki bukan hanya berputih mata tetapi bakal berhadapan hukuman penjara apabila ditahan bersama 42 kotak rokok seludup di Kampung Padang Berempah di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh yang turut mengetuai operasi serbuan kira-kira jam 11 pagi itu berkata kejadian dikesan apabila pasukan polis yang sedang menjalankan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) COVID-19 melihat van mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan.

“Semasa disiasat, lelaki yang memandu van terbabit mengakui van itu adalah kepunyaannya dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan 42 kotak berisi pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai.

“Suspek dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Sipitang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut suspek yang dikenali sebagai Kolok, 44, mengakui kesemua rokok itu adalah miliknya dan diletakkan di dalam van berhampiran rumahnya.

“Suspek turut mengakui barangan rampasan adalah rokok diimport yang tidak dibayar cukai.

“Suspek juga akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Sipitang untuk saringan air kencing,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan beliau juga menyeru kepada semua rakyat Sipitang agar terus menyalurkan maklumat jenayah di kawasan masing-masing untuk pembanterasan secara menyeluruh.

  • oleh
  • Advertisement