
Semalam agak kecoh di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki di Sibu yang menanggalkan gelang tangan kod QR dikhususkan bagi memantau pergerakan mereka yang balik dari luar Sarawak.
Lelaki 27 tahun itu dikecam warga net susulan tindakannya, malah dengan bangga berkongsi cara menanggalkan gelang tangan kod QR menerusi laman sosial.
Dia lupa banyak warga net yang memerhati tingkahlakunya di Facebook dan ditangkap layar, kemudian ditularkan.
Gelang tangan kod QR ini dihasilkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) - antara usaha kerajaan dalam membasmi COVID-19 di Sarawak.
Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak (gambar) berkata kira-kira 20,000 gelang tangan penanda digunakan di Sarawak.
“Gelang tangan kod QR ini direka untuk mengesan kedudukan mereka yang dikehendaki menggunakannya, misalnya golongan yang balik dari luar negeri dan pelajar institusi pengajian tinggi yang balik ke kampung masing-masing.
“Mereka yang menggunakannya juga sepatutnya tidak merayau di luar rumah ketika tempoh kuarantin,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.

Orang-ramai yang ternampak mereka yang menggunakan gelang kod QR berada di luar rumah juga boleh memainkan peranan dengan menegur agar tidak berkeliaran.
Menurutnya, satu perkara yang mustahil dapat memantau 24 jam pergerakan setiap mereka yang menggunakan gelang tangan kod QR.
Mereka dikehendaki mengimbas gelang tangan kod QR dua kali sehari, bagi mengesan kedudukan.
Apabila seseorang tiba dari dari luar negeri atau pelajar yang balik ke kampung, mereka akan diberi gelang tangan kod QR dan mengimbasnya menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Dua kategori gelang - biru untuk mereka dalam kategori Individu Dalam Siasatan (PUI), manakala putih individu tersebut dikehendaki duduk di rumah selama 14 hari.
Ia akan mengesan kedudukan menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) menerusi telefon bimbit berdasarkan alamat rumah.
“Jika seseorang pengguna gelang tangan ini didapati positif COVID-19, petugas kesihatan akan lebih mudah untuk mengesan kedudukan rumah. Ini lebih mudah berbanding mengisi borang yang tidak lengkap alamat rumah.
“Dahulu ada beberapa kes yang cuma mengisi ruangan alamat dengan sekadar menyatakan nama kampung. Ini menyukarkan petugas kesihatan mengesan kedudukan rumah.
“Apabila positif, petugas kesihatan perlu mengesan semua kontak pesakit untuk dibuat saringan kesihatan,” ujarnya.
Menurut Zaidi, gelang tangan itu bukan berfungsi untuk mengesan kedudukan si pemakai apabila dia keluar rumah atau ingkar arahan untuk kuarantin di rumah.
“Mereka bukan penjenayah dan harus mereka ingat bahawa mereka sendiri yang perlu bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian COVID-19. Ia bukan soal teknologi semata-mata, tetapi kerjasama semua pihak,” tegasnya.
Berita berkaitan