Anda di sini

Enam lot kedai musnah terbakar

Advertisement
 Enam lot kedai di Kampung Gambaron 1, Telupid terbakar.
MUSNAH: Enam lot kedai di Kampung Gambaron 1, Telupid terbakar.

BELURAN: Sederet bangunan menempatkan enam lot kedai yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gambaron 1, Telupid pada Ahad lepas dipercayai berpunca ekoran dari litar pintas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Beluran, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rastam Keladi berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran tersebut.

“Setakat ini, pihak kami belum dapat mengesahkan punca kebakaran itu berlaku,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu jam 4.32 petang.

“Sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan pelbagai guna bersama lapan anggota diketuai oleh saya telah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 93 kilometer dari balai bomba,” katanya.

Rastam berkata kebakaran melibatkan bangunan kedai enam lot  jenis separuh kekal dengan anggaran keluasan 50’x50’ telah terbakar 100 peratus.

“Lot kedai yang terlibat adalah dua lot kedai runcit, dua lot stor penyimpanan barangan runcit, sebuah bengkel membaiki motosikal dan kedai tayar,” katanya.

Beliau berkata turut musnah 100 peratus dalam kebakaran tersebut adalah sebuah kenderaan jenis van.

“Operasi memadam kebakaran dapat dikawal pada jam 6 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 9.48 malam,” katanya.

Rastam berkata tiada laporan sebarang kecerderaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya juga masih menjalankan siasatan jumlah kerugian kebakaran tersebut.

  • oleh
  • Advertisement