Anda di sini

COVID-19 banyak mengubah tradisi Aidilfitri tahun ini

Advertisement
 Samsiah memberikan cecair sanitasi kepada keluarga yang datang berkunjung.
SARANAN KERAJAAN : Samsiah memberikan cecair sanitasi kepada keluarga yang datang berkunjung.

TAWAU: Sudah menjadi tradisi sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan saat yang paling tepat untuk mengeratkan silaturahim bersama sanak-saudara, jiran tetangga, sahabat handai serta masyarakat pelbagai bangsa dan agama dengan saling berkunjung.

Namun, penularan pandemik COVID-19 mengakibatkan tradisi itu terpaksa ditangguhkan pada tahun ini kerana amalan berziarah yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan orang ramai pada satu-satu masa tidak dibenarkan.

Bermula 1 Syawal, lazimnya semua umat Islam berbondong-bondong pergi ke masjid untuk menunaikan solat hari raya, tetapi, kali ini amalan itu tidak dapat dilaksanakan kerana semua masjid ditutup daripada sebarang aktiviti termasuk solat hari raya.

Umat Islam diingatkan supaya menunaikan solat hari raya di kediaman masing-masing dan semua ketua keluarga dilantik menjadi imam untuk menyampaikan khutbah yang telah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Pada kebiasaanya, seusai solat hari raya, kedengaran riuh-rendah golongan ibu menyiapkan pelbagai juadah hari raya dan suara kanak-kanak yang berlari-lari di halaman rumah.

Ekoran, pandemik wabak ini, golongan ibu dilihat hanya menyiapkan juadah yang ala kadar sahaja dan suara kanak-kanak juga tidak kedengaran kerana ramai ahli keluarga di perantauan tidak dapat pulang berhari raya.

Tanah perkuburan yang menjadi tumpuan utama umat Islam pada 1 Syawal saban tahun, kelihatan sepi dan lengang susulan perintah larangan yang dilaksanakan di negeri Sabah.

Bagi Samsiah Sanuddin,36, syawal kali ini membawa seribu erti, walaupun tidak berpeluang berhari raya di kampung halaman. Namun, tetap berpuas hati menikmati hari raya di rumah sendiri.

Cuti panjang ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sebelum Ramadan lagi menjadikan dirinya tidak kekok walaupun tidak pulang kampung.

Bagaimanapun, persiapan hari raya seperti mengemas rumah, membuat kuih dan menyediakan juadah ringkas tetap dilakukan untuk meraikan kehadiran keluarga yang dekat dan jiran tetangga.

Sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga, beliau sudah menyediakan peralatan seperti yang disyorkan oleh kerajaan termasuklah cecair sanitasi dan penyukat suhu badan.

Di samping itu, beliau juga menyediakan persiapan perabot di luar rumah supaya mereka yang hadir hanya berada di halaman rumah sahaja untuk menikmati juadah.

 Tetamu hanya berada di perkarangan rumah sahaja dan penjagaan jarak terpaksa dilakukan.
SOP : Tetamu hanya berada di perkarangan rumah sahaja dan penjagaan jarak terpaksa dilakukan.

Aplikasi Whatsapp menjadi medium untuk memberitahu keluarga, jiran dan sahabat handai sekiranya berkunjung ke rumahnya tidak lebih dari 20 orang, manakala warga emas dan bayi juga tidak digalakkan datang sebagai langkah keselamatan.

Rumah terbuka yang dilakukannya saban tahun juga ditukar dengan amalan bertukar-tukar juadah bersama keluarga dan sahabat handai sebagai usaha mengeratkan silaturahim.

Walaupun, Aidilfitri tahun ini tidak semeriah sebelumnya, tetapi inilah hakikatnya yang terpaksa ditempuh demi memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan menjalani kehidupan dengan norma baharu.

  • oleh
  • Advertisement