Anda di sini

60 peratus kes COVID-19 di Sabah adalah jangkitan dalam negeri

Advertisement
CHRISTINA RUNDI
CHRISTINA RUNDI

KOTA KINABALU: Setakat 24 Mei lalu 60 peratus kes COVID-19 yang dilaporkan adalah jangkitan dalam negeri.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memutuskan kes import terbahagi kepada tiga kategori.

"Kategori A adalah merujuk kepada kes yang baharu pulang dari luar negara, B baharu pulang dari luar negeri tempat kes bermastautin, C adalah dikesan di luar daerah tempat kes bermastautin.

"Selain itu, kes tempatan pula merujuk kepada dikesan di dalam daerah tempat kes bermastautin," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, 60 peratus kes pada 24 Mei itu merujuk kepada kategori kes import C dan tempatan. 

Katanya, satu pertiga mendapat jangkitan dari luar Sabah terutamanya dari Semenanjung Malaysia (import B).

"Kes import A mendapat jangkitan di Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Indonesia. Majoriti
kes jangkitan dalam negeri (61 peratus) merupakan kontak kepada kes import B.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga ingin memaklumkan sehingga 25 Mei lalu, jumlah kes COVID-19 bagi Sabah kekal 343 kes.

"Pada 24 Mei sejumlah 1,824 ujian telah dijalankan menjadikan jumlah kumulatif ujian bagi negeri Sabah berjumlah 77,503," katanya.

Menurutnya, sehingga 25 Mei seramai 9,102 orang sedang menjalani perintah Home Quarantine dan seramai 2,601 orang masih berada di 56 buah Pusat Kuarantin di seluruh Sabah.

Katanya, JKNS juga telah dimaklumkan bahawa penghantaran pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) balik ke Negeri Sabah akan disambung semula pada 26 Mei 2020.

"Sejumlah 1,148 pelajar akan mengikuti empat penerbangan sewa khas. Semua pelajar akan diperiksa oleh petugas kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Pihak JKNS memohon kerjasama semua pihak untuk memastikan pengurusan pergerakan pelajar pulang berjalan dengan lancar," katanya.

  • oleh
  • Advertisement