Anda di sini

Unduk Ngadau, Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah diadakan

Advertisement
 Peter mengumumkan penganjuran Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2020 di Kota Kinabalu.
SIDANG MEDIA: Peter mengumumkan penganjuran Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2020 di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah anjurkan pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi sempena perayaan Pesta Kaamatan 2020.
Pertandingan itu bagaimanapun  dijalankan menerusi dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Kaamatan Sabah, Datuk Peter Anthony mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasanya di sini tengah hari kelmarin.

"Perayaan Kaamatan seperti yang kita rayakan setiap tahun sebelum ini tidak ada tetapi dua acara telah diluluskan (untuk dianjurkan) iaitu Unduk Ngadau dan Sugandoi," katanya.

Kedua-dua acara itu bagaimanapun dipertandingkan berdasarkan rakaman video peserta sahaja.

Video rakaman itu akan dihantar ke akaun Facebook khas bagi kedua-dua acara itu.

Page akaun Facebook bagi Unduk Ngadau adalah Unduk Ngadau 2020 manakala bagi acara Sugandoi  adalah Sugandoi Artist Management (SAM).

Peraturan termasuk kelayakan  peserta bagi kedua-dua acara adalah sama seperti sebelum ini dan ada diperincikan dalam akaun Facebook berkenaan.

"Bezanya kali ini ialah tidak ada pertandingan peringkat daerah. Penyertaan adalah terbuka dan peserta sudah boleh menghantar rakaman video mereka bermula hari ini," kata Peter.

Tarikh tutup penyertaan kedua-dua acara adalah pada 29 Mei.

Tujuh peserta yang mendapat undian tertinggi akan mara ke final.

Rakaman video peserta akhir Sugandoi akan diadili juri pada 30 Mei.

Peserta akhir Unduk Ngadau pula perlu datang bertanding di KDCA pada 31 Mei untuk diadili oleh juri.

Bagaimanapun, pertandingan akhir Unduk Ngadau itu akan dibuat secara tertutup.

"Kita kena patuh dengan SOP (Prosedur Operasi Standard) termasuk tidak membenarkan kehadiran orang ramai," katanya.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan Presiden KDM Malaysia berkata, hadiah kedua-dua acara juga dikekalkan seperti tahun lalu.

Juara Unduk Ngadau akan menerima wang tunai RM18 ribu, kedua RM13 ribu, ketiga RM10 ribu, keempat RM7 ribu, kelima RM5 ribu, keenam RM4 ribu dan ketujuh RM3 ribu.

Peserta di kedudukan kelapan hingga 20 menerima RM2 ribu manakala peserta di kedudukan ke-21 hingga 65 menerima RM1,500.

Juara Sugandoi pula akan menerima RM6 ribu, kedua RM4 ribu, ketiga RM3 ribu, peserta di kedudukan keempat hingga ketujuh menerima RM1 ribu manakala peserta di kedudukan kelapan hingga 65 menerima RM500.

  • oleh
  • Advertisement