Anda di sini

COVID-19: 172 kes positif baharu, 34 pulih, tiada kematian - KP Kesihatan

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Kes positif baharu COVID-19 di Malaysia hari ini kembali melebihi angka 100 apabila sebanyak 172 kes baharu direkodkan, majoriti daripadanya membabitkan pendatang tanpa izin yang ditahan di depoh tahanan imigresen, menjadikan jumlah kumulatif kini ialah 7,417 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata daripada 172 kes baharu yang dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 167 kes adalah penularan tempatan.

“159 kes adalah bukan warganegara Malaysia yang mana 112 kes telah dikesan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dan hanya lapan melibatkan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tiada kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal 115 atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata terdapat 34 kes pulih hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad ialah 5,979 kes (80.6 peratus).

Sehingga kini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. - Bernama

Advertisement