Anda di sini

Berhibur ketika PKPB, 18 ditahan di Miri

Advertisement
 

MIRI: Polis di sini menahan 18 orang yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di pusat bandar di sini kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selain perbuatan cuai yang mungkin menyebarkan jangkitan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita berusia di antara 23 sehingga 47 tahun, ditahan dalam satu serbuan Op Noda yang dilaksanakan jam 12.05 pagi, 24 Mei, di sebuah premis di Pusat Komersial Miri Waterfront. 

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah dalam satu kenyataan berkata suspek turut ditangkap kerana tidak memiliki lesen hiburan dan ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan permit.

Katanya Op Noda itu dilakukan oleh sepasukan polis yang membuat rondaan Penguatkuasaan Perintah Kawalan di sekitar kawasan bandar raya Miri dan pemantauan pusat hiburan di kawasan sekitar bandar raya Miri serta telah membuat pemeriksaan di premis tersebut. 

"Pasukan polis yang mengadakan serbuan telah masuk ke dalam premis melalui pintu hadapan dan membuat pemeriksaaan serta mendapati pelanggan sedang berhibur dalam bilik-bilik karaoke yang dibuka dan ada minuman keras di atas meja," katanya. 

Polis juga katanya, turut merampas televisyen, beberapa set karaoke, pembesar suara, mikrofon tanpa wajar dan amplifier.

Hasil pemeriksaan juga mendapati 11 daripada lelaki terbabit ialah tempatan manakala seorang lagi lelaki warganegara Indonesia. Manakala empat wanita warga tempatan serta dua lagi warganegara China, yang didapati sedang berhibur di dalam premis tersebut, ketika serbuan.

Permohonan reman ke atas semua suspek warganegara tempatan turut dibuat pada Ahad, manakala suspek yang merupakan warganegara asing akan ditahan di bawah kesalahan Imigresen. 

Katanya, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Perkara 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.6) 2020, Seksyen 269, Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001, Perkara 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/1963.