Anda di sini

Suasana Aidilfitri berbeza dengan norma baharu

Advertisement
 Suria menyalakan pelita bagi memeriahkan malam tujuh likur.
SERIKAN MALAM LIKUR: Suria menyalakan pelita bagi memeriahkan malam tujuh likur.
 Manzar bersama ibunya ketika menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada tahun lalu.
RINDU KAMPUNG HALAMAN: Manzar bersama ibunya ketika menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada tahun lalu.
 Anak Suria, Aizatul Nabila, 13, mengisi balang dengan biskut raya untuk dinikmati mereka sekeluarga pada Aidilfitri nanti.
SEMANGAT: Anak Suria, Aizatul Nabila, 13, mengisi balang dengan biskut raya untuk dinikmati mereka sekeluarga pada Aidilfitri nanti.
 Antara kad raya yang dihasilkan Manzar.
NOSTALGIA RAYA: Antara kad raya yang dihasilkan Manzar.
 Manzar melakarkan kad Hari Raya bagi mengurangkan rasa rindu pada kampung halaman.
CARA SENDIRI: Manzar melakarkan kad Hari Raya bagi mengurangkan rasa rindu pada kampung halaman.
 Suria dan Rohana bermaaf-maafan.
MOOD RAYA: Suria dan Rohana bermaaf-maafan.

KALAU kebiasaannya kehangatan Hari Raya Aidilfitri sudah dirasai dengan suasana orang pulang ke kampung, rumah terbuka, solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid dan sebagainya tetapi tahun ini ia berbeza dan agak suram.

Mana tidaknya masyarakat Islam tidak lagi dapat meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa itu seperti biasa namun dengan norma baharu.

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Bagi perantau yang jauh dari kampung halaman, kesedihan kerana tidak dapat beraya bersama keluarga sukar untuk digambarkan.

Menurut seorang kartunis anak Sarawak, Mathadir Pauji, 35, atau lebih dikenali dengan panggilan Manzar, segala perancangannya untuk pulang beraya di kampung halaman tidak kesampaian.

“Raya tahun ini disambut berbeza tidak seperti kebiasaannya kerana dalam keadaan PKPB ini tidak membenarkan untuk kita pulang ke kampung beraya, mengadakan rumah terbuka, solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid apatah lagi untuk kunjung-mengunjungi sanak saudara yang jauh.

“Saya salah seorang daripada perantau yang kini menetap di Pandan Indah, Kuala Lumpur amat merasa kesedihan yang sukar diungkapkan,” katanya yang berasal dari Kampung Tanjung Bundong ketika dihubungi kelmarin.

Jelasnya, ramai tidak dapat pulang beraya bersama keluarga menyebabkan suasana Aidilfitri tahun ini amat terkesan sekali kemeriahannya.

Kata Manzar, tambah menyedihkan lagi, keluarga di kampung sering kali menelefonnya terutama ibu, Bayah Johari, yang selalu bertanya adakah dapat balik beraya bersamanya.

“Berat hati untuk menjawab pertanyaannya tetapi saya akur dan saya terpaksa berterus terang saya tidak dapat balik kerana PKPB ini.

“Alangkah sedihnya menghadapi Hari Raya di perantauan nanti dengan suasana hanya dapat disambut dalam rumah sahaja,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mempunyai cara sendiri bagi mengurangkan rasa rindu terhadap keluarga dengan menghasilkan karya seninya.

“Nasib baik dengan kerjaya saya sebagai seorang kartunis, berkarya dalam rumah dan studio dapat mengubati rasa sunyi.

“Dengan itu, menyambut Hari Raya di perantauan tidak mematahkan semangat saya untuk mencari kemeriahan tersendiri pada hari yang mulia ini walaupun terpaksa menahan sedih berjauhan dari keluarga tercinta di Sarawak,” katanya.

Beliau turut bersyukur dengan nikmat yang diberikan meskipun Aidilfitri tahun ini penuh dugaan dan cabaran yang menjadikan masyarakat Islam lebih menginsafi dan dekat dengan Allah SWT.

Selain itu, Manzar turut melakarkan kad Hari Raya bagi meluahkan rasa kemeriahan menyambut Aidilfitri untuk mengurangkan rasa sunyinya yang terpaksa beraya seorang diri di perantauan.

“Kepada yang telah menerima kad raya hasil karya saya, semoga dengan lakaran kad saya ini anda dapat merasai kemeriahannya.

“Saya juga ingin mengucapkan salam Aidilfitri untuk bonda saya yang tercinta, keluarga yang disayangi dan sahabat handai, mohon maaf andai ada salah silap,” ujarnya.

Sementara itu, Suria Rabaie, 36, yang berasal dari Kampung Buda, Spaoh juga terpaksa melupakan hasratnya untuk pulang ke kampung halaman.

“Setiap tahun kami sekeluarga akan pulang ke kampung untuk beraya tetapi tahun ini hasrat itu terpaksa dilupakan kerana PKPB ini selain bimbang keselamatan diri dan keluarga,” jelasnya.

Untuk itu, katanya, dia dan isteri Rohana Yahya, 38, dan enam anaknya hanya meraikan sambutan Aidilfitri di rumah mereka sendiri.

Tegasnya, walaupun tiada rumah terbuka, ziarah-menziarahi dan sebagainya, juadah Hari Raya tetap ada untuk dinikmati bersama keluarga sahaja.

“Inilah cara kami untuk meraikan Hari Raya tahun ini untuk mengubati rasa rindu beraya di kampung halaman,” jelasnya.

Malah, Suria berkata, selain tidak dapat pulang ke kampung, suasana raya tahun ini amat berbeza kerana masyarakat Islam tidak dapat solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid dan surau.

“Suasana tidak seperti dahulu, amat berbeza dan suram tetapi kita terpaksa akur demi keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga daripada dijangkiti wabak bahaya ini,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement