Anda di sini

Stam ketua jurulatih baharu FC Cincinnati

Advertisement
STAM
STAM

LOS ANGELES: Bekas pemain antarabangsa Belanda Jaap Stam akan menjadi ketua jurulatih baharu FC Cincinnati dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS), kata pengurus besar Gerard Nijkamp kelmarin.

Stam, 47, mengambil alih kelab di Amerika Syarikat itu selepas dia menjadi pengurus di Reading, England, dan PEC Zwolle serta Feyenoord di negara asalnya Belanda.

Dia meletak jawatan sebagai jurulatih Feyenoord pada Oktober lalu selepas mereka dibelasah 4-0 oleh Ajax, walaupun kelab itu menyatakan ketika itu bahawa mereka mahu dia terus kekal.

Pengurus sementara Yoann Damet telah memegang tampuk FC Cincinnanti pada musim ini selepas jurulatih Ron Jans meletak jawatan pada Februari lalu – 12 hari sebelum permulaan kempen 2020 – ekoran siasatan liga ke atas kenyataannya yang didakwa rasis.  

“Kami sangat gembira dan senang hati kerana Jaap Stam telah menjadi ketua jurulatih baharu FC Cincinnati,” kata Nijkamp, yang pernah bekerja bersama Stam di Zwolle.

“Dia memiliki latar belakang yang meluas sebagai anggota beberapa kelab paling berjaya di dunia sebagai seorang pemain dan turut membuktikan bahawa dia dapat membimbing pasukan mengharungi waktu peraltihan sebagai ketua jurulatih.

“Saya amat percaya bahawa Jaap dapat memimpin kami menerusi fasa kami seterusnya, ke stadium baharu kami, dan membantu kami mencapai matlamat pada masa depan, menjadikan pemain lebih bagus dan membawa pengetahuan serta pengalamannya ke dalam kelab.”

Stam bermain sebanyak 67 kali untuk Belanda tetapi memberi impak paling besar sebagai pemain di Manchester United, di mana dia memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan kejuaraan ‘treble’ terkenal yang dimenangi kelab itu pada 1999 iaitu kejuaraan liga, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Dia juga memenangi Eredivisie bersama PSV Eindhoven pada 1997 dan pernah bermain untuk Lazio, seterusnya memenangi Coppa Italia, dan AC Milan.

Kemuncak karier kejurulatihannya yang singkat setakat ini adalah membawa Reading ke peringkat ‘playoff’ dalam divisyen kedua di England, Liga Kejuaraan, pada 2017.

Ia adalah tidak jelas bila sebenarnya Stam akan dapat menyertai kelab itu. Dia sedang menunggu pengesahan visa selepas sekatan perjalan berterusan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

MLS menggantung perlawanan 12 Mac lalu. — AFP

Advertisement