Anda di sini

Shopee catat hasil jualan pertanian, perikanan bernilai RM250,000

Advertisement
 Ronald Kiandee (tengah) mengadakan lawatan ke pusat operasi bagi kolaberatif antara Kementerian dengan Shopee untuk mendigitalisasi rantaian bekalan hasil segar dan makanan laut di Pusat Pengedaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), semalam. Turut sama Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli (tiga kanan) dan Pengerusi FAMA Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (tiga kiri). — Gambar Bernama
DAPAT SAMBUTAN: Ronald Kiandee (tengah) mengadakan lawatan ke pusat operasi bagi kolaberatif antara Kementerian dengan Shopee untuk mendigitalisasi rantaian bekalan hasil segar dan makanan laut di Pusat Pengedaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), semalam. Turut sama Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli (tiga kanan) dan Pengerusi FAMA Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (tiga kiri). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Nilai hasil jualan pertanian dan perikanan menerusi platform e-dagang Shopee Malaysia bagi dua kedai rasmi Agrobazaar FAMA dan NEKMAT mencecah RM250,000.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjalinkan usaha sama dengan Shopee itu sebagai langkah jangka panjang untuk melindungi kebajikan petani dan nelayan.

Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas, Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata usaha sama yang bermula bulan lepas sehingga 15 Mei telah merekodkan hampir 2,000 pesanan di sekitar Lembah Klang.

“Buat masa ini, penduduk Lembah Klang yang membuat pesanan di kedai-kedai ini sebelum jam 12 tengah hari akan menerima produk mereka pada hari berikutnya (kecuali hujung minggu dan cuti umum),” katanya kepada pemberita di Pejabat FAMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, di sini.

Beliau berkata jika berlaku permintaan tinggi pada masa hadapan pihaknya bersedia untuk berunding bagi menetapkan masa penghantaran yang lebih pantas dan efisien.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kunjungan rasmi ke pejabat tersebut turut berkata urus niaga menerusi dalam talian kini menjadi normal baharu bukan sahaja bagi petani, usahawan dan nelayan malah pengguna.

“Inilah sifat e-dagang, anda membuat pesanan secara dalam talian dan kemudian penghantaran akan dibuat dalam tempoh tertentu. Apabila anda telah terbiasa, pengguna juga akan dapat menyesuaikan diri mereka dengan penghantaran sedemikian.

“Ia boleh diperbaiki susulan perbincangan secara mendalam, ini melibatkan beberapa peserta industri, Internet, platform dan rakan kongsi logistik. Setakat ini, masa yang ditetapkan adalah sedemikian,” katanya.

Inisiatif secara dalam talian ini dijangka dipertingkatkan untuk merangkumi jangkauan seluruh negara, yang akan memberi kesan positif terhadap kehidupan 1,500 petani, 100 usahawan industri perniagaan tani di bawah FAMA serta 56,000 nelayan.

Pengguna boleh melayari kedai rasmi FAMA di https://shopee.com.my/agrobazaar_fama dan kedai rasmi Nekmat menerusi di https://shopee.com.my/nekmat.os — Bernama

Advertisement