Anda di sini

PKR Sarawak lantik pemimpin baharu, isi kekosongan lapan cabang  

Advertisement
 

KUCHING: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Sarawak melantik beberapa pemimpin cabang baharu bagi mengisi kekosongan jawatan susulan pemecatan atau keluar parti. 

Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Sarawak, Abun Sui Anyit (gambar) berkata pelantikan ini dibuat oleh pengerusi MPN Sarawak melibatkan lapan cabang iaitu Lubok Antu, Puncak Borneo, Bandar Kuching, Betong, Sibu, Tanjong Manis, Lawas dan Sri Aman. 

Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang dilantik sebagai pemimpin cabang Lubok Antu, John Jeffrey (Puncak Borneo), Dominique Ng Kim Hoe (Bandar Kuching), Noel Changgai Bucking (Betong), Robert Liam Chim Chuang (Sibu), Upom Uget (Tanjong Manis), Japar Suyut (Lawas) dan Tay Wei Wei (Sri Aman). 

“Mesyuarat MPN PKR Sarawak semalam dimaklumkan kekosongan jawatan yang ditinggalkan beberapa pemimpin cabang yang dipecat atau keluar parti dan diganti dengan pemimpin baharu yang lebih setia kepada parti. 

“Mereka yang dilantik ini akan membantu menyelaras dan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa (AJK) cabang-cabang yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan.  

Terdahulu, Abun berkata kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari tahun ini akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia. 

Ekoran daripada kejatuhan kerajaan pimpinan PH ini, PKR sebagai parti tunjang kerajaan PH sebelum ini secara langsung terjejas kerana kehilangan 11 kerusinya. 

Walaupun perbuatan khianat dan pemecatan ahli, dalam tempoh dua bulan sejak kejatuhan PH dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, permohonan keahlian baru terus diterima. 

“Walaupun ada pihak yang mendakwa kononnya PKR semakin hancur di Sarawak, perkara ini adalah tidak benar kerana keahlian PKR Sarawak adalah kedua tertinggi di seluruh negara selepas Selangor. 

“Justeru, PKR Sarawak menyeru kepada semua kepimpinan cabang dan ahli-ahli terutama di Sarawak agar tidak terpengaruh, terhasut dan terpesong oleh khabar angin daripada anasir-anasir jahat pihak luar,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement