Anda di sini

‘Penyokong kadbod’ saksikan perlawanan di antara Moenchengladbach, Leverkusen

Advertisement
 Kepingan kadbod yang dicetak dengan gambar penyokong Borussia Moenchegladbach diletakkan di Stadium bola sepak Borussia Park di Moenchengladbach, barat Jerman. — Gambar AFP
HIDUPKAN SUASANA: Kepingan kadbod yang dicetak dengan gambar penyokong Borussia Moenchegladbach diletakkan di Stadium bola sepak Borussia Park di Moenchengladbach, barat Jerman. — Gambar AFP

MONCHENGLADBACH: Hampir 13,000 pepotong kadbod penyokong Borussia Moenchengladbach dijangka menyambut pasukan untuk perlawanan Bundesliga menentang Bayer Leverkusen dalam stadium tertutup pada malam ini (Sabtu).

Gladbach menjadi tuan rumah bagi perlawanan Bundesliga yang julung kali diadakan tanpa penonton pada 11 Mac lalu, sejurus sebelum musim Jerman ditangguhkan kerana wabak COVID-19.

Salah satu kumpulan penyokong kelab, ‘Fanprojekt Moenchengladbach’, seterusnya mendapat idea untuk membenarkan penyokong mencetak imej saiz sebenar diri mereka untuk diletakkan di dalam stadium.

Pepotong berkenaan membarisi tempat duduk yang kosong di stadium, dan pemegang tiket bermusim dapat meminta untuk meletakkan pepotong kadbod yang menyerupai mereka di tempat duduk mereka yang tetap.

“Kami mengatur hampir 13,000 pepotong, tetapi hampir 20,000 sudah pun ditempah,” kata ketua kumpulan penyokong, Thomas Ludwig, kepada SID, subsidiari AFP.

“Ia adalah operasi yang bagus, yang mewujudkan suasana di dalam stadium,” kata pengarah sukan Gladbach, Max Eberl.

“Walaupun pada masa yang sama, ia adalah peringatan bahawa bola sepak tanpa penyokong adalah tidak sama.”

“Ia hebat sekali. Kami benar-benar mempunyai gambaran bahawa kami tidak bersendirian ketika kami berlatih di stadium,” tambah jurulatih Gladbach, Marco Rose.

Gladbach menduduki tempat ketiga dalam carta liga dan enam mata di belakang pendahulu Bayern Munich. Mereka menang 3-1 di Eintracht Frankfurt pada hujung minggu lepas ketika Bundesliga bersambung selepas ganguan selama dua bulan. — AFP

Advertisement