Anda di sini

Pemimpin Chechnya Kadyrov di hospital, disyaki positif COVID-19

Advertisement
RAMZAN KADYROV
RAMZAN KADYROV

MOSCOW: Pemimpin Chechnya Ramzan Kadyrov yang dimasukkan ke hospital di Moscow kelmarin disyaki dijangkiti koronavirus (COVID-19), lapor beberapa agensi berita di Rusia.

“Ramzan Kadyrov telah dibawa dengan pesawat ke Moscow bagi satu kes disyaki COVID-19. Sekarang beliau berada di bawah pemantauan perubatan,” agensi berita negara TASS melaporkan, memetik sumber perubatan yang menyatakan Kadyrov berada dalam keadaan “stabil”.

Agensi berita RIA Novosti turut memetik sumber per-ubatan sebagai berkata Kadyrov, 43, berada di hospital di Moscow, sementara Interfax memetik sumber perubatan Moscow menyatakan beliau sedang dirawat dan disyaki positif COVID-19.

Sekiranya disahkan, Kadyrov akan menjadi pegawai kanan terkini yang dijangkiti virus itu selepas Perdana Menteri Mikhail Mishustin, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov dan beberapa menteri.

Tiada ada komen lanjut daripada pegawai di Chechnya atau Moscow.

RIA Novosti memetik seorang pembantu kepada Kadyrov, ketua televisyen Grozny Akhmed Dudayev, sebagai berkata pemimpin Chechnya itu “sedang dalam kawalan peribadi untuk tugas ibu pejabat koronavirus”, tanpa memberikan komen mengenai laporan tentang beliau dimasukkan ke hospital.

Seorang sekutu penting kepada Presiden Vladimir Putin, Kadyrov memegang jawatan di Chechnya selepas bapanya Akhmat Kadyrov terkorban dalam serangan bom pada 2004.

Kedua-dua bapa dan anak itu telah menentang Moscow semasa konflik pemisah berdarah yang pertama di Chechnya dari 1994-96 namun beralih pihak untuk menyokong Kremlin ketika ia melancarkan perang kedua di sana pada 1999 di bawah pengawasan Putin, yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Kadyrov menggelar dirinya sebagai seorang “askar yang berjalan kaki” namun secara meluas dipercayai menikmati kebebasan sepenuhnya dari Moscow, yang bersikap tidak endah terhadap taktik menindasnya dalam kawa-sannya di Caucasus Utara sebagai pertukaran untuk kesetiaannya.

Beliau telah mengambil pendekatan keterlaluan kepada COVID-19, menggelar doktor yang mengadu tentang kekurangan peralatan perlindungan sebagai “penghasut” yang harus dipecat.

Beliau turut menyamakan penduduk Chechnya yang tidak mengasingkan diri sendiri dan menjangkiti orang lain dengan “pengganas” yang harus ditanam di dalam lubang.

Rusia telah merekodkan sejumlah 317,554 jangkitan wabak COVID-19, kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, dengan 3,099 kematian di seluruh negara. — AFP

Advertisement