Anda di sini

Pecah amanah: ‘Master’ kapal dipenjara setahun, dua sebatan

Advertisement

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara setahun dan dua sebatan terhadap seorang ‘master’ kapal atas tuduhan pecah amanah.

Yusuf Yunus, 49, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan, diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditahan, 18 Mei 2020.

Seksyen 407 ini memperuntukan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan juga denda, jika sabit dengan kesalahan.

 Mengikut pertuduhan, Yusuf didakwa melakukan pecah amanah dengan menjual 13 batang kayu balak bernilai RM70,000 milik syarikat tempat beliau bekerja pada 10 Mei 2020, kira-kira jam 10 pagi di Nanga Melekun B, Kapit.

Fakta kes menyatakan pada 8 Mei 2020, kira-kira jam 7 pagi, pengadu yang juga pembantu pengurus syarikat telah mengarahkan tertuduh bersama empat lagi pekerja untuk memunggah kayu balak sebanyak 503 batang ke dalam kapal untuk dihantar ke kilang di Tanjung Manis.

Pada 10 Mei 2020, jam lebih kurang 10 pagi, kapal terbabit tiba di Tanjung Manis dan penyelia kilang terbabit ada menghubungi pengadu menyatakan terdapat 13 batang kayu balak bernilai RM70,000 telah hilang.

Siasatan kemudian mendapati tertuduh telah menjual 13 batang kayu balak itu dengan harga RM30,000 kepada Cheng Chu Siieng, 41, semasa singgah di tebing sungai sekitar Tanjung Kunyit.

Sementara itu, Cheng diperintah berkelakuan baik dan menjaga keamanan mengikut Seksyen 67 Kanun Prosedur Jenayah oleh mahkamah, selain dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.