Anda di sini

KPDNHEP senaraikan 22 jenis barangan bagi SHMMP 2020

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 11 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020 bersempena Aidilfitri dan 11 jenis barangan untuk SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2020 yang akan disambut Jun ini.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kawalan harga dibuat ke atas kesemua 11 barangan itu bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran berikutan permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan tersebut.

Beliau berkata, penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2020 akan dibuat selama 15 hari bermula 20 Mei hingga 3 Jun 2020.

“Manakala Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2020 dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2020 akan bermula daripada 28 Mei hingga 3 Jun ini iaitu selama 7 hari.”

“Tempoh keseluruhan pelaksanaan skim tiga perayaan ini ialah selama 15 hari,” katanya pada Sidang Media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di sini semalam.

Jelas beliau lagi, walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan penularan wabak COVID-19, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2020 wajar dilaksanakan memandangkan permintaan orang ramai terhadap barang-barang keperluan harian tertentu untuk sambutan perayaan-perayaan tersebut masih tinggi.

“Tiada jaminan bahawa peningkatan harga tidak akan berlaku di pasaran walaupun bekalan barangan keperluan semasa adalah mencukupi.”

“Sehubungan itu, pelaksanaan skim bagi ketiga-tiga perayaan tersebut dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga bagi memulihkan perniagaan mereka setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang dalam tempoh PKPB tanpa menjejaskan kepentingan pengguna ataupun peniaga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dengan turut mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga barangan secara mendadak dan ketara.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Dalam pada itu, KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

Tambah Nanta, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan memastikan harga di pasaran adalah berpatutan.

“Di samping itu, Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan. Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.”

“Kementerian turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui Pegawai Pemantau Harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

  • oleh
  • Advertisement