Anda di sini

Kastam patah cubaan seludup minuman keras bernilai RM274,042 

Advertisement
Lori treler membawa dua kontena sarat muatan minuman keras ditahan pada Jumaat.

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM274,042 selepas berjaya memintas sebuah lori treler di Jalan Sarikei-Saratok pada Jumaat.

Pengarahnya Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata anggota dari cawangan penguatkuasaan JKDM Sibu dan Sarikei mengekori lori tersebut selepas mendapat maklumat awam iaitu sekitar jam 8.15 pagi.

Menurutnya, lori yang membawa dua kontena itu berjaya ditahan di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati ia penuh dengan muatan minuman keras yang disyaki belum lulus Kastam.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 26,409 liter minuman keras dengan anggaran nilai sejumlah RM274,042 serta anggaran duti kastam (cukai) sebanyak RM434,699.

"Barang tersebut kemudian disita di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dibawa ke pejabat Penguatkuasaan JKDM Sibu untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, lori tersebut yang dimiliki sebuah syarikat pengangkutan dalam perjalanan ke Kuching.

"Minuman keras tersebut diangkut melalui jalan darat dengan kuantiti besar mengunakan kontena bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Dipercayai barangan diseludup untuk bekalan pasaran musim perayaan Hari Gawai yang bakal tiba," katanya.

Tambahnya, pemandu bersama dua kelindan turut ditahan juga di bawah Akta Kastam 1967 untuk membantu siasatan.

"Jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar.

"Selain itu, mereka juga boleh didenda tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun," jelasnya.

Kastam Sarawak turut menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat Kastam berhampiran.

  • oleh
  • Advertisement