Anda di sini

Diskaun 28% untuk pengguna domestik RM500 ke bawah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Pemberian diskaun sebanyak 28% ke atas bil elektrik di bawah Pakej Bantuan Covid-19 oleh Kerajaan Negeri Sabah hanya diberikan kepada pengguna domestik dengan bil penggunaan bulanan RM500 dan ke bawah sahaja. 

Diskaun ini khususnya untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. 

Pemberian diskaun 28% ini adalah bagi penggunaan elektrik bermula pada 1 April 2020 sehingga 30 Jun 2020. Dengan diskaun 2% daripada Kerajaan Persekutuan, pengguna berkenaan menikmati diskaun sejumlah 30% dalam tempoh tersebut. 

Manakala pengguna domestik dengan bil penggunaan bulanan melebihi jumlah RM500 hanya layak menerima diskaun sebanyak 2%  dan pengiraan diskaun ini adalah bagi penggunaan elektrik bermula pada 1 April 2020 sehingga 30 September 2020. 

Justeru itu, untuk bil elektrik bulan April, 2020 yang meliputi penggunaan elektrik dari bulan Mac 2020  sehingga April 2020,  diskaun  akan  dikira  secara  prorata bagi penggunaan dalam bulan April 2020 saja. Sebagai contoh untuk kitaran bil bermula pada bulan 10 Mac 2020 hingga 10 April, 2020, diskaun hanya layak diberikan dalam tempoh 1-10 April sahaja.  

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid menjelaskan bahawa setakat ini, lebih 80% pengguna domestik telah diberikan diskaun sebanyak 28% daripada Kerajaan Negeri Sabah membabitkan kos lebih kurang berjumlah RM 16 juta pada bil elektrik untuk tempoh 1 April, 2020 sehingga 21 Mei 2020. 

Di samping itu juga, pemberian diskaun sebanyak 2% kepada pengguna domestik oleh Kerajaan Persekutuan membabitkan kos lebih kurang RM 1.2 juta setakat ini. Ini tidak termasuk pemberian diskaun sebanyak 2% kepada pengguna komersil dan industri dan 15% kepada industri pelancongan yang berjumlah RM2.6 juta. 

Beliau menjelaskan bahawa pihak SESB terpaksa mengeluarkan bil secara anggaran sebagai kaedah interim sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 16 April 2020 kerana pembacaan meter di tapak tidak dibenarkan sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa, pembacaan dan pengebilan di tapak telah disambung semula pada 17 April 2020 untuk mengelak atau mengurangkan pengebilan secara anggaran yang tidak tepat yang kelak akan menimbul kesulitan kepada pengguna. 

 Setelah melaksanakan pembacaan jangka di tapak, SESB akan membuat pelarasan kepada semua bil-bil anggaran bagi mendapatkan jumlah bil yang tepat. 

Selain itu juga, kelayakan untuk diskaun 28% turut dikira secara pro-rata  berdasarkan bilangan hari dalam bil tersebut yang termasuk dalam tempoh pemberian diskaun. Oleh itu, pengguna tidak perlu risau bahawa bil anggaran yang dikeluarkan SESB tidak tepat, pihak SESB tercaj dua kali bagi sesuatu tempoh atau mereka tidak mendapat diskaun 28% akibat tempoh bil yang panjang. 

Beliau turut menjelaskan bahawa kenaikan bil elektrik secara melipat ganda yang dialami oleh ramai pengguna pada masa kini adalah disebabkan oleh penggunaan elektrik yang lebih semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020. 

Jika sebelum arahan perintah kawalan pergerakan dikeluarkan, kebanyakan rumah adalah kosong di siang hari, kini rumah menjadi tempat untuk berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti tidak kira waktu, ini kerana arahan “Duduk Rumah”.  

Sudah semestinya dengan hanya menetap di rumah, tidak kira dewasa atau kanak-kanak pastinya akan menggunakan tenaga elektrik lebih daripada kebiasaan. 

Menurut beliau, terdapat perubahan terhadap trend beban pengguna  yang direkodkan dalam sistem grid SESB di mana penggunaan domestik telah melonjak dari kebiasaan iaitu sekitar lebih 50%.  

 “Oleh yang demikian, penggunaan elektrik yang digunakan secara berlebihan mengakibatkan bil bulanan pengguna bertambah dari 35% ke 100%, malahan ada yang lebih daripada 100%” katanya. 

Abdul Nasser berkata pengguna perlu sedar tentang cara penggunaan elektrik mereka sewaktu “Duduk Rumah” yang perlu diubahsuai untuk mengelak bil melambung naik.  

Secara umumnya, penggunaan tenaga elektrik di rumah dapat dikurangkan apabila kita dapat mengamalkan penjimatan elektrik seperti berikut;  
Gunakan barang elektrik yang perlu saja. 

Mengurangkan penggunaan peralatan elektrik yang mempunyai elemen pemanasan seperti cerek elektrik, seterika, pot pemanas air atau ketuhar yang menggunakan tenaga yang banyak ketika proses pemanasan peralatan tersebut. 

Penggunaan suhu penghawa dingin ditetapkan pada 24 darjah Celsius dan alat penghawa dingin ditutup sekiranya tiada orang di bilik atau ruang tamu berkenaan. 

Jangan kerap membuka pintu peti sejuk di rumah. 

Tutup suis alatan elektrik jika tidak digunakan seperti alat pengecas telefon bimbit, komputer riba, televisyen, microwave dan lain lain. 

Memastikan penggunaan mesin basuh dengan muatan maksima. 

 “Itu adalah beberapa cara yang dapat dikongsi untuk menjimatkan penggunaan elektrik seharian di rumah anda ketika ini dan secara langsung anda juga dapat mengurangkan jumlah bil elektrik bulanan anda. Jika bil anda dapat dihadkan di bawah RM500 sebulan, anda dapat penjimatan daripada diskaun 28% lagi,” Abdul Nasser berkata. 

Manakala itu, Abdul Nasser turut memaklumkan bahawa SESB telah pun membuka Kaunter Perkhidmatan Pengguna bermula pada 11 Mei, 2020  di semua pejabat SESB seluruh Negeri Sabah dan W.P. Labuan dengan menghadkan kepada 50 peratus kapasiti anggota kerja buat masa ini sehingga tempoh PKP tamat. Oleh itu, beliau menasihati pengguna untuk berkunjung ke pejabat SESB sekiranya menghadapi masalah berkaitan perkhidmatan SESB. 

Pengguna yang mempunyai pertanyaan mengenai diskaun bil elektrik boleh menghubungi bilik gerakan SESB melalui talian 088-222313, 223313 dan 224313 atau melalui aplikasi whatsapp 019- 852 5427. 

Selain itu pengguna juga boleh mengajukan pertanyaan kepada bilik gerakan khas berkenaan dengan isu-isu bil atau perkhidmatan pelanggan melalui e-mel [email protected] 

Bilik gerakan ini akan beroperasi pada waktu bekerja iaitu bermula pada jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 5.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat pada hari bekerja. Manakala itu, pengguna boleh menghubungi SESB Careline 15454 selepas waktu pejabat.