Anda di sini

Detik cemas dapur runtuh

Advertisement
 Bahagian dapur rumah mangsa yang telah runtuh.
RANAP: Bahagian dapur rumah mangsa yang telah runtuh.
 Keadaan dapur rumah mangsa susulan runtuhan tersebut.
ROSAK TERUK: Keadaan dapur rumah mangsa susulan runtuhan tersebut.

SARATOK: Sebuah keluarga dari Rumah Jupiter, Sungai Bansu, Krian dekat sini berdepan detik-detik mencemaskan apabila bahagian dapur rumah mereka runtuh sekitar jam 7 malam kelmarin.

Pemilik rumah tersebut, Lawie Egol, 66, berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa ahli keluarganya berada di ruang tamu.

“Hanya seorang anak lelaki saya yang berusia 30 tahun berada di dapur pada waktu itu.

“Kejadian itu berlaku dengan begitu pantas hingga menyebabkan anak saya tidak sempat menyelamatkan diri dan jatuh bersama runtuhan tersebut.

“Namun syukur, dia terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi media, semalam.

Akibat runtuhan itu, hampir seluruh bahagian dapur rumah mangsa rosak teruk.

Menurut Lawie, berdasarkan pemantauan awal kejadian mungkin berpunca daripada tanah runtuh di bawah tiang dapur rumahnya.

“Bahagian dapur rumah saya adalah bergantung dan dibina menggunakan kayu.

“Dipercayai pergerakan tanah runtuh telah menjejaskan sebahagian besar daripada struktur di bahagian dapur dan menyebabkannya runtuh dengan begitu pantas.

“Selain itu, struktur kayu yang sudah rapuh mungkin salah satu penyumbang kejadian ini,” kata Lawie.

Sungguhpun demikian kata Lawie, beliau dan ahli keluarganya bersyukur kerana mereka terselamat dalam musibah tersebut.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Malaysia merangkap Ahli Parlimen Saratok Ali Biju yang menghulurkan sumbangan kepada mereka sekeluarga semalam.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Saratok Ali Biju yang begitu prihatin dengan masalah yang telah menimpa keluarga kami.

“Dengan bantuan ini, ia dapat meringankan beban kami sekeluarga terutama untuk membina semula bahagian dapur yang telah runtuh tersebut,” ujar Lawie lagi.

Sumbangan daripada Ali Biju yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian kepada keluarga mangsa disampaikan oleh wakilnya dari Pusat Khidmat Parlimen Saratok William Barang.

  • oleh
  • Advertisement