Anda di sini

CELCOM kongsi kasih sayang dan semangat Ramadan bersama rumah kebajikan

Advertisement
 Wakil dari Jabatan Perniagaan Perusahaan Celcom menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penghuni Kompleks Kebajikan Laila Taib di Sarawak.
KONGSI KASIH SAYANG: Wakil dari Jabatan Perniagaan Perusahaan Celcom menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penghuni Kompleks Kebajikan Laila Taib di Sarawak.

PETALING JAYA: Sempena bulan Ramadan yang penuh dengan semangat saling berkongsi dan memberi, Jabatan Perniagaan Perusahaan Celcom telah menghulurkan tangan untuk meringankan beban serta menceriakan rumah-rumah kebajikan yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beberapa rumah kebajikan di Lembah Kelang, seperti Rumah Titian Kaseh Titiwangsa di Kuala Lumpur, Pusat Jagaan Amal Syurga di Sungai Buloh, Rumah Anak Yatim Asnaf Assolihin, Kanchong Darat, dan sebuah pusat jagaan warga emas iaitu Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih serta beberapa buah rumah anak yatim telah menerima semangat Ramadan yang dihulurkan oleh Celcom pada 20 Mei lalu.

Penghuni rumah-rumah kebajikan tersebut begitu ceria menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan oleh warga Jabatan Perniagaan Perusahaan Celcom bersama Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan, Celcom Axiata Berhad Azlan Zainal Abidin.

Azlan turut mengambil kesempatan untuk turun padang bersama para pekerja, serta menyerahkan bantuan berupa makanan keperluan asas seperti beras, tepung dan bekalan makanan yang lain kepada Rumah Titian Kaseh, iaitu sebuah pusat jagaan bagi kira-kira 80 anak yatim, ibu tunggal dan warga emas.

Selain itu, warga Celcom di negeri-negeri lain turut sama menghulurkan tangan dan berkongsi semangat Ramadan dengan 23 rumah kebajikan yang lain di seluruh negara, termasuk Rumah Anak-anak Yatim Teratak Rahmat di Perlis, Lembaga Pengurusan Anak Yatim Miskin di Melaka, Kompleks Kebajikan Laila Taib, Sarawak, Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, Rumah Anak Yatim Curahan Kasih Sayang Ikhwan di Pahang dan Rumah Anak Yatim Salimah di Kelantan.

Inisiatif Celcom ini memperlihatkan komitmen berterusan syarikat telekomunikasi tersebut untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal dalam waktu yang mencabar ini.

Advertisement