Anda di sini

Solat Jumaat pertama di Masjid Terapung dalam tempoh PKPB

Advertisement
Masjid Terapung, yang terletak di tebing Sungai Sarawak.- Gambar Chimon Upon.
Masjid Terapung, yang terletak di tebing Sungai Sarawak.- Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh umat islam di Sarawak selepas Majlis Islam Sarawak (MIS) membenarkan solat Jumaat diadakan di semua masjid dan surau yang ditauliahkan berjumaat, selepas hampir dua bulan lebih tidak dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Tinjauan Utusan Borneo mendapati pihak Masjid India Bandar Kuching atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung mengamalkan prosedur operasi standard (SOP)  dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh MIS demi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Solat Jumaat hari ini disempurnakan dalam tempoh kira-kira 30 minit termasuk azan, solat, khutbah dan doa.

Suhu badan ahli jemaah diperiksa sebelum memasuki masjid.- Gambar Chimon Upon
Suhu badan ahli jemaah diperiksa sebelum memasuki masjid.- Gambar Chimon Upon.

Hanya 12 jemaah yang dibenarkan hadir untuk solat yang terdiri daripada imam, bilal, marbot dan beberapa ahli Lembaga Amanah Khairat Masjid Bandar Kuching dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid.

Mereka dikehendaki mengambil wuduk sebelum ke masjid dan diwajibkan untuk menggunakan pelitup muka.

Apabila mereka tiba di pintu masuk masjid, mereka diminta oleh pengawal agar mencatat butiran diri.

Setelah dibenarkan memasuki pekarangan masjid, mereka akan menjalani pemeriksaan suhu badan dan hanya dibenarkan masuk ke dalam masjid sekiranya suhu badan mereka tidak melebihi 37.5 darjah Celsius.

Penjarakan sosial ketika solat ditetapkan pada jarak satu meter. - Gambar Chimon Upon.
Penjarakan sosial ketika solat ditetapkan pada jarak satu meter. - Gambar Chimon Upon.

Ahli jemaah juga akan dipastikan bebas daripada gejala-gejala COVID-19 seperti batuk, selsema, demam dan sesak nafas sebelum dibenarkan masuk.

Seterusnya, mereka akan diberi pensanitasi tangan untuk memastikan tangan mereka tidak tercemar, selain mengamalkan penjarakan sosial atau jarak selamat satu meter pada saf solat demi mematuhi PKPB. 

Dr Shajahan - Gambar Chimon Upon.
Dr Shajahan - Gambar Chimon Upon.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Masjid Bandar Kuching Dr Shajahan Sayed Ahmad berkata, selepas dua bulan masjid tidak dapat dikunjungi jemaah, beliau serta beberapa AJK masjid berasa gembira dan teruja apabila MIS membenarkan solat Jumaat diadakan di semua masjid dan surau yang ditauliahkan berjumaat. 

Jelasnya, dalam mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa untuk mengekang wabak COVID-19, beliau sebagai Pengerusi juga tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini.

"Sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini, hampir dua bulan kami tidak melihat masjid apatah lagi masuk ke dalam masjid.

"Justeru apabila MIS membenarkan solat Jumaat diadakan, semua ahli masjid berasa teruja,” 

MIS membenarkan solat Jumaat diadakan di semua masjid dan surau yang ditauliahkan berjumaat berkuatkuasa hari ini (22 Mei). 

Namun, ia hanya membabitkan jemaah dari kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa pengurusan (AJK) masjid sahaja semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 
 

  • oleh
  • Advertisement