Anda di sini

Satu kelegaan buat Giroud dan Caballero

Advertisement
(Kiri) GIROUD dan CABALLERO
(Kiri) GIROUD dan CABALLERO

LONDON, England: Penyerang veteran, Olivier Giroud dan penjaga gol Willy Caballero, melanjutkan  kontrak mereka sehingga akhir musim 2020/2021, menurut pengumuman kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Rabu.

 Giroud, 33, berjaya menempatkan dirinya ke dalam skuad kendalian Frank Lampard sebelum musim tertangguh ekoran pandemik COVID-19 dan menjaringkan gol terakhir Chelsea ketika menewaskan Everton 4-0 pada bulan Mac.

Kontrak lama penyerang antarabangsa Perancis itu akan tamat pada akhir musim ini tetapi Chelsea melaksanakan pilihan untuk melanjutkan kontrak satu tahun lagi.

“Saya berasa gembira untuk meneruskan pengembaraan saya di Chelsea,” kata Giroud.

“Saya tidak sabar untuk kembali bermain dan menikmati bola sepak kompetetif bersama rakan sepasukan saya.”

Bekas penyerang Arsenal itu hampir meninggalkan Chelsea pada bulan Januari dalam usaha untuk memburu satu tempat ke dalam skuad Perancis ke Euro 2020 selepas ketinggalan di belakang Tammy Abraham sebagai penyerang pilihan pertama Lampard.

Bagaimanapun, Giroud beraksi dalam kesebelasan utama pada tiga perlawanan terakhir Chelsea dan juga menjaringkan gol kemenangan 2-1 ketika menewaskan Tottenham pada bulan Februari.

“Sejak saya kembali di Chelsea, Olivier seorang yang sangat profesional dan individu yang hebat,” kata Lampard.

“Beliau mempunyai kualiti hebat untuk membantu skuad dalam dan luar padang, bukan hanya dengan bakat tetapi dengan contoh yang beliau tunjukkan setiap hari dan juga pengalaman yang  beliau bawa ke dalam skuad muda ini. Saya berasa sangat gembira di mana semua ini akan diteruskan pada musim hadapan.”

Kontrak lanjutan Caballero akan mengekalkan beliau di Stamford Bridge sebelum ulang tahun kelahiran ke-40.

Penjaga gol dari Argentina itu menggantikan Kepa Arrizabalaga untuk seketika pada awal tahun selepas Arrizabalaga kerap melakukan kesilapan.

“Ia adalah masa yang sukar untuk semua orang sekarang, jadi saya berasa bertuah dengan peluang ini dan amat menghargainya,” kata Caballero.

Kepa merampas kembali tempatnya dalam kesebelasan utama sebelum musim ditangguhkan tetapi Lampard juga memuji kepentingan pengalaman Caballero.

“Saya percaya dengan Willy, beliau berlatih dengan gigih dan seorang yang sangat profesional,” kata Lampard.

“Beliau berada dalam kesebelasan utama pada awal tahun dan menunjukkan kualitinya dan pengalaman beliau adalah amat berharga dalam bilik persalinan. Saya gembira beliau akan terus bersama kami pada musim hadapan.” — AFP

Advertisement