Anda di sini

Pertingkat usaha bantu rakyat memerlukan

Advertisement
 Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama Toh Puan Ragad Kurdi Taib.
SELAMAT HARI RAYA: Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

KUCHING: Usaha hendaklah dipertingkatkan lagi untuk membantu rakyat dalam golongan berpendapatan rendah mara ke hadapan seiring dengan kemajuan negara.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020 berkata, keadaan di mana ada segolongan rakyat yang kekal ketinggalan daripada arus pembangunan, mestilah dielakkan.

Dalam soal ini katanya, segala bantuan boleh difokuskan kepada orang yang berpendapatan rendah bukan sahaja kaum Bumiputera, tetapi juga bukan Bumiputera.

“Kita telah menyaksikan bagaimana Sarawak banyak berubah daripada negeri paling mundur dalam tahun 60-an dan 70-an dan kini menjadi negeri paling progresif dan maju.

“Pembangunan ekonomi Sarawak bukan sahaja makin aktif dan moden dalam negara, bahkan di rantau ini dengan pendapatan per kapita melonjak kepada lebih RM40,000.

“Oleh itu, kita harus bersyukur atas kejayaan mengangkat taraf hidup rakyat ini kepada paras yang lebih baik dan makmur lagi,” katanya.

Tun Taib juga percaya sokongan rakyat yang padu kepada perjuangan kerajaan negeri selama ini akan terus kekal di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sarawak katanya, mempunyai agenda pembangunan bukan sahaja untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi, tetapi juga menjadi negeri terkaya dan paling maju menjelang 2030.

Untuk itu katanya, Ketua Menteri telah melaksanakan beberapa program yang khusus untuk mentransformasikan pembangunan luar bandar yang dapat menyambung perjuangan negeri untuk membawa Sarawak kepada taraf yang lebih maju dan progresif.

Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tun Taib berkata ia disambut dalam keadaan yang amat berbeza tahun ini akibat penularan COVID-19.

“Oleh kerana penyakit COVID-19 ini cepat merebak, kerajaan persekutuan dan negeri terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian virus ini daripada terus merebak.

“Oleh itu, rakyat harus akur dan nasihat untuk terus duduk di rumah dan sekiranya perlu keluar dikehendaki mematuhi arahan dan langkah-langkah yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Tun Taib turut menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengguna pelitup muka, sarung tangan dan mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Dengan keadaan demikian katanya, kita terpaksa meraikan Hari Raya Aidilfitri sesuai dengan keadaan baharu atau seperti yang diiktiraf dunia akibat COVID-19.

“Saya percaya cara kita meraikan Hari Raya Aidilfitri memerlukan kita memperelokkan cara kita bersuka ria bersama-sama sebagai rakyat Malaysia yang mencapai banyak kemajuan dan kemakmuran.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat semua kerana telah sama-sama dapat mengikuti rentak pembangunan negeri ini dan sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

“Saya berharap perpaduan dan suasana harmoni rakyat Sarawak akan terus kekal teguh dengan acuannya tersendiri ini,” katanya.

Advertisement