Anda di sini

Neuer kekal penjaga gol Bayern sehingga 2023

Advertisement
 Neuer menjalani sesi latihan di pusat latihan Bayern Munich di selatan Jerman. — Gambar AFP
BERITA GEMBIRA: Neuer menjalani sesi latihan di pusat latihan Bayern Munich di selatan Jerman. — Gambar AFP

BERLIN: Penjaga gol Jerman Manuel Neuer telah menandatangani perjanjian baharu bersama Bayern Munich yang mengikatnya dengan kelab tersebut sehingga 2023, juara Bundesliga itu mengumumkan kelmarin.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi selama berminggu-minggu mengenai masa depan kapten Bayern, dengan laporan meluas yang menyebut bahawa rundingan di antara pemain itu dengan kelab telah buntu.

“Selama sekatan pergerakan selama berminggu-minggu bagi pandemik COVID-19, saya tidak mahu membuat keputusan kerana orang tidak tahu sama ada, bila dan bagaimana bola sepak Bundesliga akan diteruskan,” Neuer menyebut dalam satu kenyataan.

“Saya melihat masa depan dengan sikap yang amat optimis. Saya rasa sangat selesa di Bavaria.”

Pada bulan lepas, akhbar harian Bild melaporkan Neuer dan ejennya Thomas Kroth menuntut kontrak selama lima tahun dengan gaji sebanyak 20 juta euro (RM100 juta) semusim.

Neuer sebelum ini mendedahkan kejengkelannya mengenai status rundingan serta maklumat yang telah dibocorkan kepada media.

Neuer, yang memenangi Piala Dunia pada 2014 bersama pasukan Jerman, menyertai Bayern dari Schalke pada 2011 dan sudah memenangi hampir segalanya bersama gergasi Bavaria itu, dengan tujuh kejuaraan Bundesliga, lima Piala Jerman dan Liga Juara-Juara 2013.

Penjaga gol berusia 34 tahun itu berada di landasan untuk memenangi kejuaraan liga kelapan bagi dirinya bersama Bayern ekoran kemenangan 2-0 di Union Berlin pada Ahad lepas yang memelihara kelebihan empat mata pasukannya di tempat teratas liga setelah Bundesliga menjadi liga besar pertama di Eropah untuk kembali beraksi daripada sekatan pergerakan akibat COVID-19. — AFP

Advertisement