Anda di sini

Masing nafi MoU sokong PN dibuat tanpa kesepakatan dalam GPS

Advertisement
 

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing (gambar) berkata GPS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menyokong penubuhan Perikatan Nasional (PN) ditandatangani selepas rundingan membabitkan semua pemimpin parti komponen GPS.

Masing yang juga Presiden PRS berkata GPS menerusi Ketua Menteri selaku Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Isnin menandatangani  MoU berkenaan setelah mendapat persetujuan semua pemimpin GPS sebelum ini untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"MoU yang ditandatangani beberapa hari lepas  adalah untuk melaksanakan apa yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi GPS sebelum ini, untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

"Rundingan antara pemimpin parti komponen GPS iaitu PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) PRS (Parti Rakyat Sarawak), SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) dan PDP (Parti Progresif Demokratik) telah diadakan sebelum MoU ini ditandatangani," katanya hari ini.

Masing bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian menggesa parti-parti komponen  GPS yang tidak berpuashati dengan PBB agar menilai semula kerjasama mereka.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya itu, pengagihan jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Persekutuan baru-baru ini tidak mencerminkan kerjasama erat antara empat parti GPS - PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Anggota GPS yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri semuanya dari PBB, kecuali seorang timbalan menteri. Sangat jelas pengagihan kuasa tidak saksama dalam GPS, jelasnya.

"Ini juga masa untuk parti-parti komponen yang 'lemah' dalam GPS memikirkan dengan serius menilai semula perikatan dengan PBB yang tidak saksama dan konsep kerjasama ibarat 'satu pihak melebihi berbanding pihak lain'," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Baru turut  mempersoalkan sama ada pemimpin GPS berbincang sebelum MoU itu ditandatangani.

Ini kerana ujarnya ada pemimpin GPS yang 'bingung' dengan MoU yang ditandatangani itu.