Anda di sini

Lelaki mengamuk dicekup polis dalam serbu hendap di Sungai Bangat

Advertisement
FARID
FARID

LABUAN: Polis menangkap seorang lelaki berumur 29 tahun dalam kejadian mengamuk di sebuah rumah di Kg Sungai Bangat di sini pada Rabu jam 9.45 malam.

Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata ketika sampai ke rumah berkenaan, polis cuba menenangkan serta memujuk suspek warga Indonesia tanpa dokumen itu untuk menyerah diri.

“Namun suspek bertindak agresif dengan mengacu sebilah pisau lalu mengugut menikam,” katanya.

Menurut Farid pihak polis kemudian bertindak membuat serbuan mengejut ke dalam rumah dan berjaya menangkap suspek lalu merampas senjata pisau berhulu kayu berukuran 36cm yang digunakan suspek.

Farid menjelaskan polis turut menjumpai sebilah pedang samurai berhulu besi berukuran panjang 110cm dalam pemeriksaan lanjut di bilik tempat tinggal suspek.

Lelaki berkenaan, kata Farid kemudian dibawa ke balai bersama senjata rampasan untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah menggunakan pisau dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi kesalahan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, hukuman penjara boleh dikenakan tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM2000 atau kedua-duanya sekali.

  • oleh
  • Advertisement