Anda di sini

Lebih 1,000 KIR di DUN Repok terima sumbangan Gawai

Advertisement
 Huang menyampaikan sumbangan Hari Gawai kepada penduduk rumah panjang dari sekitar DUN Repok, semalam.
HULUR SUMBANGAN: Huang menyampaikan sumbangan Hari Gawai kepada penduduk rumah panjang dari sekitar DUN Repok, semalam.

SARIKEI: Sejumlah 1,327 Ketua Isi Rumah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok akan menerima sumbangan Hari Gawai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii.

Huang berkata, sumbangan ini adalah daripada Gabungan Parti Sarawak.

“Walaupun pada tahun ini sambutan perayaan Hari Gawai adalah jauh berbeza daripada suasana perayaan pada tahun-tahun lepas kerana ia masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dalam tempoh ini, masyarakat yang meraikan perayaan ini digalakkan untuk menyambutnya dalam penuh kesederhanaan dan mematuhi SOP PKPB.

“Oleh itu, kita berharap masyarakat dapat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan tersebut kerana ia amat penting dalam usaha semua pihak untuk memutuskan rangkaian wabak Covid 19,” katanya, semalam.

Menurut Huang, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban penduduk dalam menyambut perayaan dalam suasana PKPB.

Katanya, manfaat sumbangan ini untuk mendapatkan barangan keperluan yang amat diperlukan dan bukannya dibazirkan kepada perkara atau keperluan yang tidak penting.

“Masyarakat perlu sedar bahawa kita perlu bijak berbelanja pada masa kini, kerana keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Perbelanjaan yang bijak itu amat penting. Jesteru itu, kita berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh masyarakat dalam situasi pada masa kini,” tegas Huang.

Bagi DUN Repok, sebanyak 87 rumah panjang di kawasan ini telah tersenarai akan menerima sumbangan ini.

Advertisement