Anda di sini

Kerajaan atau pembangkang, GPS kekal lindungi hak Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengulangi pendirian akan mempertahan dan melindungi hak dan kepentingan Sarawak meskipun kini membentuk Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi (gambar) yang berkata demikian, menambah parti tersebut menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atas dasar demi kestabilan negara.

"Persefahaman ini juga merupakan satu rangka sesebuah kerajaan yang berfungsi. GPS ialah satu anggota dalam Kerajaan Persekutuan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

GPS membentuk Kerajaan Persekutuan bersama dengan sebuah perikatan yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama Bersatu, UMNO, PAS, MCA dan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR.

Kerajaan Persekutuan yang dibentuk Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr Mahathir tumbang pada Mac lepas apabila bekas Perdana Menteri itu meletakkan jawatan.

Susulan itu, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Baru-baru ini, media melaporkan GPS, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan sokongan terhadap penubuhan PN.

Sokongan dinyatakan dalam satu kenyataan ditandatangani bersama oleh Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Advertisement