Anda di sini

FIFPro sokong pendirian pemain enggan jalani latihan

Advertisement
 Pemain Atletico Madrid menjalani latihan di Kompleks Latihan Majadahonda. — Gambar AFP
HORMATI PILIHAN: Pemain Atletico Madrid menjalani latihan di Kompleks Latihan Majadahonda. — Gambar AFP

PARIS: Presiden kesatuan pemain bola sepak profesional dunia (FIFPro), memberikan sokongan kepada pemain yang tidak mahu kembali menjalani latihan kerana bimbang dengan pandemik COVID-19 dan menghukum mereka kerana pendirian itu adalah sesuatu yang ‘tidak berperikemanusiaan dan tidak dapat diterima’.

Komen Jonas Baer-Hoffmann itu dibuat selepas kapten kelab Liga Perdana Inggeris, Watford, Troy Deeney, enggan menyambung sesi latihan menjelang kemungkinan musim bola sepak Inggeris disambung semula kerana beliau tidak mahu memberi risiko kepada anaknya yang mengalami masalah pernafasan, untuk dijangkiti virus COVID-19.

Deeney juga menjelaskan beliau bimbang keluarganya boleh dalam bahaya kerana angka menunjukkan etnik minoriti dan kulit hitam di United Kingdom (UK) – yang mempunyai rekod angka kematian tertinggi di Eropah -  diramal lebih mudah jatuh sakit kerana COVID-19.

Deeney adalah “seorang pemain yang mempunyai kebimbangan jelas dan mahu melindungi keluarganya,” kata Baer-Hoffmann dalam satu sidang panggilan telefon dengan wartawan pada Rabu.

“Jika pemain ini diberi tekanan atau berpotensi menghadapi tindakan disiplin, kami merasakan ia adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Idea di mana seseorang mungkin dihukum ketika satu pandemik kerana cuba untuk melindungi kesihatan keluarganya adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan dan tidak dapat diterima.”

Bagaimanapun, tiada cadangan di mana Watford akan mengambil tindakan disiplin ke atas Deeney.

Beberapa pemain di England menyuarakan kebimbangan mereka untuk kembali menjalani latihan, walaupun latihan dilakukan dalam kumpulan yang kecil.

Watford adalah antara kelab Liga Perdana yang terjejas dengan enam ujian positif COVID-19 dari 748 ujian dijalankan pada Ahad dan Isnin.

Pemain kelab Newcastle United, Danny Rose, yang dipinjamkan dari Tottenham, juga ada berkata pemain dilayan seperti “tikus makmal” ketika liga cuba untuk disambung semula.

Baer-Hoffmann menyokong Rose dengan meminta perbincangan dilakukan melibatkan pemain jika mereka mahukan “peraturan lebih ketat”.

“Tiada siapa boleh mengecualikan risiko jangkitan, jadi ia adalah satu persoalan tentang kemungkinan yang bermaksud mengurangkan risiko dan banyak sistem yang kita lihat dan baca – tidak hanya di England – yang masih mempunyai banyak jurang dan risiko,” kata Baer-Hoffmann.

Beliau juga mengakui ramai pemain di seluruh dunia juga mahu kembali bermain walaupun potensi risiko tetapi FIFPro mencadangkan pemain untuk menjalani tiga atau empat minggu latihan sebelum perlawanan untuk mengelak risiko kecederaan.

Di England, Liga Perdana sudah ditangguhkan sejak 13 Mac.

Kesan kewangan kerana tidak menamatkan musim mungkin menjejaskan banyak kelab, walaupun pemain di peringkat tertinggi liga di England berada pada kedudukan lebih baik berbanding pemain dari liga lain di seluruh dunia.

Baer-Hoffmann menjelaskan kes pemain di beberapa negara Amerika Selatan, termasuk Colombia dan Uruguay, selain di Botswana dan Mesir, yang sekarang bergantung kepada pakej makanan dari kesatuan pemain tempatan “kerana mereka tidak langsung dapat membeli keperluan asas kerana ketiadaan pendapatan.” — AFP

Advertisement