Anda di sini

Dua lelaki rentas negeri antara Menumbok – Labuan dikompaun RM1,000

Advertisement
FARID
FARID

LABUAN: Polis Labuan mengenakan kompaun kepada dua lelaki tempatan berumur 28 dan 62 tahun di atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata, dua lelaki itu didapati melakukan kesalahan berkenaan di laluan pejalan kaki Terminal Feri Kenderaan di sini pada jam 11.45 pagi Khamis.

“Kedua-dua lelaki berkenaan didapati melakukan perjalanan rentas negeri dari Menumbok Sabah ke WP Labuan dengan menaiki feri kenderaan atas alasan urusan peribadi di bandar Labuan,” katanya.

Menurut Farid kedua-dua lelaki berkenaan kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan kompaun lalu dibebaskan.

Farid menjelaskan dua lelaki itu didapati melakukan kesalahan di bawah peraturan 6 (3) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) (No.6) 2020.

Kesalahan berkenaan, kata Farid merupakan kesalahan berkaitan pergerakan perjalanan merentas negeri tanpa kebenaran bertulis atas sebab khas dari ketua polis berhampiran tempat kediaman masing-masing.

Menurut Farid kesalahan itu boleh dihukum di bawah peraturan 15 (1) yang boleh membawa hukuman denda RM1,000 tanpa pengurangan.

Kompaun hendaklah dibayar di Pejabat Kesihatan WP Labuan dalam tempoh dua minggu dari tarikh kompaun dikeluarkan.

Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan tindakan pendakwaan di mahkamah ke atas pesalah oleh Jabatan Kesihatan WP Labuan.

  • oleh
  • Advertisement