Anda di sini

‘Antara Dua Jendela’ filem web animasi Petronas sempena Aidilfitri

Advertisement
 ‘Antara Dua Jendela’ sebuah kisah cinta antara dua rumah kampung, Dara (kanan) dan Uda (kiri) terbaharu daripada Petronas.
MENARIK DI AIDILFITRI INI: ‘Antara Dua Jendela’ sebuah kisah cinta antara dua rumah kampung, Dara (kanan) dan Uda (kiri) terbaharu daripada Petronas.

KUALA LUMPUR: PETRONAS melancarkan filem web beranimasi penuh pertamanya berju-dul ‘Antara Dua Jendela’ menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tujuan di sebalik filem web ini adalah untuk memberi peringatan bahawa tiada yang bersendirian dalam menghadapi situasi terkini akibat pandemik COVID-19.

Dengan mengekalkan tema perayaan PETRONAS tahun ini ‘Keluarga Unik Kami’, filem web ini mengetengahkan hubungan sesama insan yang disantuni menerusi amalan kebaikan dan sikap saling bantu-membantu yang merupakan aspek penting bagi setiap komuniti.

Filem web ‘Antara Dua Jendela’ berlatarbelakangkan kawasan desa yang permai di mana dua buah rumah kampung bernama Uda dan Dara digambarkan saling mencintai.

Tetapi pemiliknya, Pak Tam dan Mak Teh, masing-masing mempunyai sikap yang bertentangan dan langsung tidak boleh bertemu mata.

 (Dari kiri) Fadzil, Pak Tam, Syasya dan Mak Teh kekal berhubung menerusi panggilan video meskipun jarak memisahkan mereka.
TERUS BERHUBUNG: (Dari kiri) Fadzil, Pak Tam, Syasya dan Mak Teh kekal berhubung menerusi panggilan video meskipun jarak memisahkan mereka.

Lantaran itu, hubungan kejiranan antara Pak Tam dan Mak Teh semakin mengeruh tahun demi tahun, terutama sekali apabila Hari Raya Aidilfitri menjelma.

Ini memberi kesan kepada hubungan Uda dan Dara yang mulai tegang.

Namun begitu, segala-galanya berubah pada tahun ini dengan ketiadaan amalan balik kampung beramai-ramai dan adat kunjung-mengunjung sesama keluarga dan jiran tetangga akibat penularan COVID-19.

Situasi lebaran yang baharu ini telah mendorong Pak Tam dan Mak Teh untuk meraikan Hari Raya bersama-sama serta melupakan segala perbezaan antara mereka dan menyedari hikmah di sebalik cabaran pandemik.

Dengan ini, hubungan kasih sayang antara Uda dan Dara juga kembali bertaut.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah (Liza) Abdul Rahman berkata, “Aspirasi kami melalui filem web ini adalah untuk membawa kebahagiaan kepada rakyat Malaysia tatkala berdepan dengan situasi mencabar ketika ini.

“Filem ini mengingatkan bahawa kita sebenarnya tidak pernah bersendirian pada masa ini.

“Bahkan, kita semua sedang mengharungi situasi yang sama. Adalah penting untuk kita melihat di sekeliling kita dan menghargai mereka yang paling dekat dengan kita.

“Kami berharap agar filem web ini dapat menjadi sumber motivasi untuk kita terus cekal dalam menempuhi segala cabaran serta mencari sinar kegembiraan dalam melayari kebiasaan baharu,” ujarnya.

Tambah Liza lagi, setelah hampir 46 tahun, keunikan masyarakat majmuk di Malaysia sering kali menjadi sumber inspirasi filem web perayaan PETRONAS.

Bukan itu sahaja bagi Liza, solidariti yang menyatukan kita pada suasana yang sukar buat masa ini, adalah sifat keprihatinan dan keikhlasan dalam mengambil berat antara satu sama lain.

Filem web ini boleh ditonton di saluran YouTube dan laman Facebook rasmi PETRONAS. Versi berdurasi 90 saat akan ditayangkan di TV bermula 20 Mei hingga 14 Jun 2020.