Anda di sini

25 keluarga dakwa tercicir bantuan makanan semasa PKP

Advertisement

SIBU: Seramai 25 pintu atau keluarga dari tiga rumah panjang di Sungai Pinang dan Nanga Tutus mendakwa tercicir daripada menerima bantuan makanan dalam usaha kerajaan meringankan beban rakyat semasa menghadapi pandemik COVID-19.

Daripada 25 keluarga itu, 15 pintu keluarga dari Rumah Lilian Linus, Sungai Pinang, Rumah Bembang, Sungai Pinang (1) dan Rumah Sop Senin, Nanga Tutus (9).

Tuai Rumah Lilian men-dakwa, 15 keluarga dari 24 pintu rumah panjangnya tidak menerima bantuan makanan itu yang diagihkan pada 19 April lalu oleh ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Sebelum ini, agihan bantuan makanan oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Progresif Demokratik (PDP), semua pintu keluarga ada menerima bantuan.

“Namun mengapa untuk bantuan ketiga ini, 15 pintu keluarga ini tidak menerima bantuan,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Lilian berkata, semasa bantuan itu hendak diagihkan pada 19 April lepas, beliau tidak dimaklumkan oleh pihak terbabit.

Beliau hanya mengetahui bantuan itu telah diagihkan selepas melihat hantaran seorang penduduk dari Nanga Tutus dalam laman Facebook.

“Bantuan seperti ini sepatutnya diberikan tanpa mengira fahaman politik,” ujarnya yang telah memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi Unit Bumiputera PSB Bawang Assan Andrew Shilling.

Difahamkan, perkara terbabit telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu termasuk kepada Residen Bahagian Sibu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Daniel Bujal dan Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee.

Selain Lilian, penduduk rumah panjang beliau yang tidak menerima bantuan ialah Menjais Meli, Ano Sabaleh, Jampi Nuing, Ukien Insol, Gellau Merapoh, Richard Minggu Abong, Buga Arong, Siong Jampi, Pelon Chendan, Boniface Gaong, Rose Munang, Semon Menjais, Lomi Kuang dan Kunjan Munang.

Sembilan penduduk Rumah Sop yang tidak menerima bantuan ialah TR Sop Senin, Goyang Mawan, Dennis Gasan, Edwin Umpun Kerakok, Biah Ubin, Minah Jamo, Manggi Gamang, Albert Sibat Neringai dan Aba Bangong, selain Jackqualine Lenyun Majin dari Rumah Bembang.

Advertisement