Anda di sini

Peningkatan kematian COVID-19 mencemaskan Brazil

Advertisement
 Kakitangan perubatan melepaskan belon ketika memberi penghormatan            kepada rakan sekerja yang meninggal dunia akibat COVID-19 di luar Hospital Universiti Sao Paulo di Sao Paulo, Brazil pada 12 Mei lalu. — Gambar AFP
PENGHORMATAN: Kakitangan perubatan melepaskan belon ketika memberi penghormatan kepada rakan sekerja yang meninggal dunia akibat COVID-19 di luar Hospital Universiti Sao Paulo di Sao Paulo, Brazil pada 12 Mei lalu. — Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Brazil merekodkan jumlah ke-matian COVID-19 tertinggi dalam sehari ketika Amerika Latin mula merasai kesan sepenuhnya daripada pandemik itu, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju untuk menyiasat gerak balasnya kepada krisis itu.

Dengan jangkitan yang pantas menghampiri lima juta, kematian mencecah 320,000 dan ekonomi dunia yang musnah, terdapat kebimbangan bahawa keadaan terburuk belum lagi berlaku bagi tempat yang lebih mundur di dunia tatkala mereka cuba sedaya upaya untuk membendung penularan virus itu.

Peningkatan yang mencemaskan berlaku kelmarin di Brazil apabila kematian harian akibat COVID-19 melebihi 1,000 buat pertama kali, tetapi Presiden Jair Bolsonaro masih menentang keras sekatan pergerakan, selepas beliau menyifatkannya sebagai tidak perlu bagi “selesema kecil”.

“Negara kita semakin teruk, ia semakin buruk,” kata pesara Gilberto Ferreira di Rio de Janeiro.

“Kita memiliki kerajaan yang tidak cekap, dan rakyat juga tidak mematuhi peraturan bagi pandemik.”

Jangkitan di Brazil – yang sudah pun ketiga tertinggi di dunia – juga meningkat dalam angka ribuan, dan wabak di negara keenam terbesar di dunia itu dijangka akan bertambah buruk dan tidak akan mencapai kemuncak sehingga awal Jun.

Peningkatan kes COVID-19 di Amerika Latin telah memaksa beberapa kawa-san untuk menangguhkan rancangan mereka untuk melonggarkan sekatan, ter-masuk bandar raya kedua di Argentina, Cordoba, yang telah menarik balik rancangan untuk melonggarkan sekatan pergerakan selepas jumlah jangkitan melonjak.

Amaran telah diberikan tentang impak pandemik itu ke atas masyarakat yang kurang bernasib baik, dan ketua Bank Dunia David Malpass kelmarin berkata seramai 60 juta orang boleh “terjerumus ke dalam ke-miskinan tegar”.

Dalam ilustrasi membimbangkan bagi tekanan ekonomi yang semakin meningkat, Chile – yang turut terseksa disebabkan oleh kenaikan ketara dalam jumlah kes – mengerahkan askar ke pinggir ibu negara yang ditutup Santiago selepas pertelingkahan berlaku de-ngan penunjuk perasaan yang marah mengenai kekurangan makanan dan kehilangan pekerjaan.     

“Mereka tidak memiliki pekerjaan, mereka terkurung di dalam rumah mereka, mereka tidak dapat keluar untuk mencari pekerjaan,” kata seorang tukang kayu yang menganggur, Jorge.

“Mereka memaksa warga Chile, pekerja, untuk keluar dan mencuri.”

Jumlah suram dari Amerika Latin dilaporkan ketika WHO bersetuju untuk melancarkan siasatan bebas ke atas cara ia mengendalikan wabak itu ekoran kritikan yang tajam dari Amerika Syarikat (AS), yang berbalah dengan Beijing mengenai pandemik itu.

Presiden Donald Trump telah mengugut untuk memotong pembiayaan AS secara tetap sambil menuduh badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menjadi “boneka China” dan membantu Beijing menyembunyikan wabak awal.

China dengan berang menafikan dakwaan itu, dan berkata AS membuat dakwaan sedemikian untuk “mengelak tanggungjawab dan tawar-menawar mengenai kewajipan antarabangsanya kepada WHO”.

Rusia mengecam ugutan Trump, dan Kesatuan Eropah turut menyokong WHO sambil berkata sekarang “bukan masanya untuk menuding jari”.

Perbalahan itu telah meng-ancam usaha untuk menye-laras gerak balas global kepada pandemik itu, tetapi presiden AS telah meningkatkan lagi serangannya dan terus menyasari China dan WHO selepas beliau berdepan dengan tekanan yang kuat di dalam negara untuk mencari jalan keluar dari krisis itu.

AS merupakan negara paling teruk terjejas di du-nia, dengan lebih 91,000 kematian akibat COVID-19 dan 1.5 juta kes, dan ramai orang semakin bosan dengan langkah penjarakan sosial yang telah memberi kesan yang amat buruk kepada ekonomi terbesar di dunia dan menyebabkan puluhan juta menganggur.

Trump ingin sekali melihat langkah pengurungan ditamatkan di AS menjelang pilihan raya presiden pada November, dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin memberi amaran bahawa ekonomi Amerika berisiko mengalami “kerosakan kekal” jika sekatan pergerakan diteruskan lebih lama lagi.

Penyelidik kelmarin me-laporkan pengeluaran karbon dioksida global daripada bahan bakar fosil dijangka akan menurun sebanyak tujuh peratus pada 2020 disebabkan oleh pandemik sekarang, penurunan paling ketara sejak Perang Dunia Kedua.

Namun penurunan dramatik itu tetap “tidak akan membuat perubahan dalam peningkatan karbon dioksida yang sedang berlaku dalam atmosfera”, kata Richard Betts, ketua penyelidikan impak iklim di Pusat Hadley Pejabat Meteorologi Britain.

Dunia sukan juga dijangka akan kelihatan amat berbeza sekali berbanding sebelum pandemik, dengan saringan mandatori, kuarantin, garis panduan penjarakan sosial yang ketat serta arena yang kosong dan bergema yang dijangka akan menjadi norma dalam masa terdekat.

Sukan bola sepak liga utama di Jerman sudah bersambung, dan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang popular di seluruh dunia sedang menjalani saringan beramai-ramai ke atas pemain dan kakitangan dalam usaha untuk melancarkan semula liga pada bulan depan.

Namun ia berdepan dengan tentangan apabila pemain menyuarakan kebimbangan tentang kesejahteraan mereka dan menyebar virus itu kepada keluarga mereka.

“Saya tidak dapat menggunting rambut sehingga pertengahan Julai, tetapi saya dapat memasuki kotak (penalti) bersama 19 orang dan melompat untuk membuat tandukan,” kata Troy Deeney dari kelab EPL Watford dalam podcast ‘Talk The Talk’.

“Saya tidak tahu bagaimana ia berfungsi.” — AFP