Anda di sini

Kebimbangan COVID-19 berkurangan, Korea Selatan buka semula sekolah

Advertisement
 Para pelajar terpisah oleh skrin pelindung sebagai langkah pencegahan COVID-19 ketika makan tengah hari di kantin sekolah tinggi di daerah Daejeon, Korea Selatan semalam. — Gambar AFP
PENCEGAHAN: Para pelajar terpisah oleh skrin pelindung sebagai langkah pencegahan COVID-19 ketika makan tengah hari di kantin sekolah tinggi di daerah Daejeon, Korea Selatan semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Ratusan ribu pelajar di Korea Selatan kembali ke sekolah semalam apabila institusi pendidikan mula dibuka semula selepas ia digantung kerana COVID-19 selama lebih dua bulan.

Pelajar berbaris untuk pemeriksaan suhu badan dan diberi pensanitasi untuk mencuci tangan mereka ketika mereka memasuki premis sekolah manakala guru-guru menyambut mereka dengan senyuman dan sekali-sekala hantukan siku.

“Ia benar-benar mengujakan untuk berjumpa dengan rakan-rakan dan guru-guru secara bersemuka, tetapi kami perlu mengikuti dengan ketat garis panduan disinfeksi,” kata Oh Chang-hwa, selaku presiden pelajar di Sekolah Tinggi Kyungbock, Seoul.

“Saya sangat bimbang tetapi ia masih bagus untuk berjumpa dengan mereka semula,” kata Oh kepada AFP.

Korea Selatan mengalami antara wabak virus yang terburuk pada peringkat awal – pada satu ketika negara kedua paling teruk terjejas selepas tanah besar China – yang mendorong pegawai kerajaan untuk menangguhkan pembukaan semula sekolah pada awal Mac lalu.

Namun ia dipercayai sudah berjaya mengawal wabak di sana hasil program “kesan, saring dan rawat” yang meluas.

Kira-kira 440,000 pelajar tahun akhir, yang akan menduduki peperiksaan kemasukan universiti pada Disember yang amat pen-ting di negara yang taksub dengan pendidikan itu, menjadi kumpulan pertama untuk kembali ke sekolah, manakala pelajar tahun lain yang menyusul secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Di dalam bangunan sekolah, pelajar diarah mengelap meja mereka dan duduk berjauhan menurut garis panduan penjarakan sosial, dengan beberapa kelas yang memasang sesekat di antara meja-meja.

Namun 66 sekolah di Incheon, dekat Seoul, ditutup sejurus selepas pembukaan semula dan pelajar mereka dihantar pulang selepas dua murid didapati dijangkiti virus berkenaan, kata seorang jurucakap di Pejabat Pendidikan Kota Metropolitan Incheon.

Episod itu menggambarkan cabaran dalam usaha membuka semula sekolah dan pada waktu yang sama cuba mencegah penularan virus.

“Kebimbangan mengenai kluster jangkitan kecil masih ada dan orang tidak dapat meramalkan jenis situasi yang akan timbul di sekolah,” kata Menteri Pendidikan Yoo Eun-hae.

Kementerian pendidikan mula menjalankan bilik situa-si kecemasan 24 jam pada minggu ini, kata Yoo, yang menambah mana-mana sekolah yang melaporkan jangkitan baharu akan ditutup serta-merta.

Sementara pelajar tahun akhir diwajibkan untuk datang ke sekolah setiap hari, murid yang lebih muda akan digilirkan di antara kelas dalam talian dengan kelas luar talian untuk memastikan bangunan sekolah tidak sesak. — AFP

Advertisement