Anda di sini

Bistro dibenarkan beroperasi dengan syarat

Advertisement
 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini memutuskan operasi bistro di negeri ini dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar).

Bagaimanapun beliau yang juga pengerusi JPBNS berkata, dengan syarat premis berkenaan tidak menyediakan hiburan seperti karaoke dan persembahan kumpulan muzik.

"Jawatankuasa memutuskan hari ini operasi bagi bistro adalah dibenarkan tetapi tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan hiburan seperti karaoke dan 'live band'.

"Jika mereka beroperasi tetapi masih menyediakan hiburan, muzik atau 'live band', maka mereka melanggar peraturan dan jika mereka hanya menjual makanan ia masih dibenarkan," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Pada Isnin, beliau mengumumkan JPBNS tidak membenarkan premis muzik kafe, kelab malam dan bistro beroperasi dalam tempoh PKPB di negeri ini.

Malahan katanya,  tindakan berupa amaran dan penutupan premis akan dikenakan kepada pemilik kedai termasuk syarikat dan pasar raya yang tidak mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP).

Sementara itu pada sidang media yang sama hari ini, Uggah berkata antara lain jawatankuasa juga memutuskan bagi rakyat Sarawak yang tiba daripada luar negara yang transit di Lapangan Terbanga Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mereka tidak perlu memohon permit daripada polis.

"Bagaimanapun mereka perlu untuk memohon kepada JPBNS secara talian dan akan dikuarantin selama 14 hari," katanya.