Anda di sini

Belajar dari Hokkaido dan Singapura, elak gelombang kedua COVID-19 

Advertisement
Uggah bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak YB Abdullah Saidol pada sidang media di sini, hari ini.
Uggah bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak YB Abdullah Saidol pada sidang media di sini, hari ini.

KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan agar mempelajari apa yang berlaku di Hokkaido, Jepun dan Singapura sehingga tercetusnya gelombang kedua COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, di Sarawak bagi mengelakkan berlaku gelombang kedua wabak berkenaan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sedang merangka strategi bagi menghadapi kemungkinan berkenaan.

Namun menurut beliau, JPBNS cuma boleh merangka strategi dan melaksanakannya tetapi apa paling penting rakyat Sarawak sendiri mempunyai peranan besar untuk menentukan gelombang kedua tidak berlaku di negeri ini.

"Hokkaido, Jepun, pada 28 Januari 2020, kes pertama telah dilaporkan dan sebulan selepas itu, mereka telah mengeluarkan perintah darurat membabitkan 66 kes dilaporkan. 

"Setelah ekonomi dibuka pada 16 Mac, 18 kes sehari dilaporkan. Kes ini meningkat 279 pada 14 April dan kerajaan menguatkuasakan perintah darurat kedua dan kes di Hokkaido terus meningkat sebanyak 984 pada 15 Mei," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Lebih kurang dua bulan lalu, Singapura telah disanjung sebagai sebuah negara yang berjaya memerangi wabak COVID-19. 

Bagaimanapun gelombang kedua juga berlaku di Singapura membabitkan kes positif meningkat dari 266 pada 17 Mac kepada 28,800 pada 19 Mei, ujarnya.

Beliau berkata, ia menjadikan Singapura antara negara tertinggi yang merekodkan kes COVID-19 di Asia Tenggara. 

Beliau berkata demikian selepas menerima cadangan daripada Jawatankuasa Bertindak (Pengawalan dan Pencegahan) sebagai langkah persiapan JPBNS menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua COVID-19 di Sarawak.

"Semalam kita menerima laporan daripada Jawatankuasa Bertindak (Pengawalan dan Pencegahan) yang diketuai Profesor Datu Dr Andrew Kiyu dari Fakulti Perubatan Unimas juga mantan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri.

"Dalam laporan tersebut, beliau telah mencadangkan beberapa langkah sebagai persiapan JPBNS untuk menghadapi gelombang kedua COVID-19," katanya.

Uggah berkata, laporan juga mengaitkan senario penularan COVID-19 di beberapa buah negara apabila berlaku gelombang kedua.

Advertisement