Anda di sini

Samarahan kini zon hijau, tiada kes terbaharu tujuh hari berturut-turut

Advertisement
Petugas polis dan tentera memeriksa pengguna jalan raya semasa sekatan di Jalan Expressway Samarahan.
Anggota polis dan tentera memeriksa pengguna jalan raya semasa sekatan Perintah Kawalan Pergerakan lalu di Jalan Expressway Samarahan.


KUCHING: Bahagian Samarahan kini bertukar status dari kawasan kuning kepada kawasan hijau apabila tidak mencatatkan sebarang kes positif dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah daerah berstatus kuning di Sarawak setakat hari ini adalah sebanyak lima buah, dan daerah berstatus hijau ialah sebanyak 35 buah.

Lima daerah masih lagi dikategorikan sebagai zon kuning ialah Kuching, Tebedu, Lundu, Sibu dan Serian manakala lain-lain daerah berstatus hijau.

Selain itu, katanya, Sarawak pada hari ini juga tidak merekodkan sebarang kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kes positif kekal sebanyak 544 kes.

Ini bermakna, tujuh hari Sarawak tiada merekodkan kes terbaru.

"Manakala sebanyak dua kes baru telah sembuh dan discaj dari hospital hari ini dengan satu kes masing-masing dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Sibu.

"Jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 439 kes atau 80.70 peratus," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Menurut Uggah, bilangan kes orang di bawah siasatan (PUI) setakat hari ini sebanyak 41 kes manakala yang masih menunggu keputusan makmal adalah sebanyak 32 kes.

"Sementara itu, sebanyak 87 kes pesakit COVID-19 sedang dirawat di empat hospital iaitu HUS sebanyak 71 kes, Hospital Sibu (lapan kes), Hospital Bintulu (enam kes) dan Hospital Miri (dua kes)

"Daripada jumlah tersebut, satu kes dirawat di unit rawatan rapi," katanya sambil menambah 17 kes kematian setakat ini.

Sehingga hari ini juga, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, JPBNS telah menyelaras kepulangan pelajar yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan melibatkan sejumlah 8,116 pelajar.

Beliau berkata, terdapat 98 pusat kuarantin dibuka dan daripada jumlah tersebut, 60 pusat kuarantin adalah untuk PUI dan 38 pusat kuarantin adalah untuk orang dalam pemantauan (PUS).

"Untuk pusat kuarantin PUI, kapasiti katil adalah sebanyak 5,630 dan bilangan penghuni sedia ada adalah seramai 4,277. Manakala pusat kuarantin di Hotel untuk PUS pula, sebanyak 5,482 bilik disediakan yang melibatkan 41 buah hotel.

"Jumlah keseluruhan yang berada di kedua-dua kategori pusat kuarantintersebut adalah seramai 8,536 orang sementara seramai 14,566 orang selesai menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan," jelasnya.

Pada hari ini juga katanya, seramai 517 PUS telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 hotel adalah seramai 4,259 orang.

Manakala seramai 6,310 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin, tambah beliau.

Kes sifar kes COVID di Sarawak turut dilaporkan pada 19 Mei, 18 Mei, 17 Mei, 16 Mei, 15 Mei, dan 14 Mei.

Sarawak pertama kali merekodkan sifar kes baharu pada 4 Mei, dan selama dua hari berturut-turut pada 11 dan 12 Mei.