Anda di sini

Kembara bersama Boboiboy Movie 2 di Netflix bermula 1 Jun ini

Advertisement
 Barisan pelakon dan kru ‘BoBoiBoy Movie 2’ yang akan ditayangkan secara eksklusif di Netflix mulai 1 Jun ini.
KE NETFLIX: Barisan pelakon dan kru ‘BoBoiBoy Movie 2’ yang akan ditayangkan secara eksklusif di Netflix mulai 1 Jun ini.

PELANGGAN Netflix di Asia Tenggara berpeluang menyaksikan filem animasi ‘BoBoiBoy Movie 2’ yang akan mula ditayangkan secara eksklusif di platform itu bermula 1 Jun ini.

Syarikat animasi Monsta dalam kenyataannya semalam memaklumkan filem animasi itu akan ditayangkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dengan tambahan babak yang belum ditayangkan di pawagam selama tujuh minit, menjadikan keseluruhan waktu tayangan 117 minit berbanding 110 minit untuk tayangan pawagam.

Menurut kenyataan itu, ‘BoBoiBoy Movie 2’ di Netflix juga akan dipaparkan bersama sari kata pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Thai, Bahasa Vietnam dan Bahasa Indonesia.

“Monsta berharap dengan tayangan ‘BoBoiBoy Movie 2’ di Netflix bermula 1 Jun ini, penonton baharu dari serata Asia Tenggara akan dapat merasai sendiri pengalaman unik dan menakjubkan apabila menontonnya bersama seisi keluarga,” menurut kenyataan itu.

‘BoBoiBoy Movie 2’ mengisahkan tentang BoBoiBoy, seorang superhero elemental yang mengembara bersama rakan-rakannya untuk menewaskan musuh jahat bernama Retak’ka yang nekad merampas kuasa  BoBoiBoy demi menakluk galaksi.

Filem animasi yang telah ditayangkan secara meluas di lebih 500 pawagam di serata Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei serta Vietnam itu telah menjadi fenomena dalam kalangan peminat muda dan dewasa.

“Dengan gabungan aksi dan komedi serta visual yang mengagumkan, ‘BoBoiBoy Movie 2’ telah menawan hati 2.5 juta penonton dengan kutipan sebanyak RM30 juta sepanjang tayangan di pawagam dan ia merupakan antara filem terlaris dalam sejarah perfileman Malaysia,” kata kenyataan itu. — Bernama

Advertisement