Anda di sini

AirAsia tawar lanjutan akaun kredit, perubahan penerbangan tanpa had sehingga Okt 2020

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pelanggan AirAsia dengan tempahan penerbangan antara tempoh 23 Mac dan 31 Julai, 2020, kini boleh memilih sama ada untuk mempunyai akaun kredit dengan tempoh sah dua tahun atau perubahan penerbangan tanpa had bagi penerbangan yang berlepas sehingga 31 Oktober, 2020.

AirAsia Bhd berkata kesahihan akaun kredit sebelum ini yang dikeluarkan bagi gangguan penerbangan berkaitan COVID-19 juga akan dilanjutkan secara automatik sehingga dua tahun bagi perjalanan pada masa depan. 

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelanggan boleh memilih antara dua pilihan itu -- pilihan pertama membolehkan mereka menukar tarikh penerbangan mereka bagi laluan yang sama tanpa had dan tanpa perlu menanggung sebarang kos tambahan sebelum 31 Oktober, 2020, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.  

Bagi mereka yang memilih pilihan akaun kredit akan dapat mengekalkan nilai tempahan penerbangan dalam akaun AirAsia BIG Member mereka bagi perjalanan pada masa depan dengan AirAsia, boleh ditebus dalam masa 730 hari (dua tahun) daripada tarikh pengeluaran tiket.

“Tarikh perjalanan tempahan baharu boleh pada mana-mana tarikh dalam jadual penerbangan yang dikeluarkan di airasia.com,” kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini. 

AirAsia berkata dalam tempoh beberapa minggu akan datang, tempoh sah bagi semua akaun kredit yang tidak digunakan yang dikeluarkan kepada pelanggan yang terjejas akibat sekatan perjalanan COVID-19 juga akan dilanjutkan secara automatik kepada dua tahun.

“Ini hanya terpakai bagi tempahan dalam talian secara terus yang dibuat menerusi airasia.com. Bagi tempahan kumpulan atau yang dibuat menerusi ejen pelancongan, sila rujuk kepada ejen tempahan masing-masing bagi maklumat selanjutnya,” kata syarikat penerbangan itu.

AirAsia berkata syarikat penerbangan itu mematuhi nasihat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam, agensi kesihatan tempatan dan global termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Ia juga memantau dengan rapat situasi ini dan berhak untuk mengumumkan dasar-dasar seterusnya mengikut perkembangan terkini. 

Pelanggan boleh merujuk kepada Panduan COVID-19 syarikat penerangan itu bagi arahan bagaimana untuk menggunakan AI chatbot AVA di support.airasia.com atau airasia.com untuk membuat pilihan. - Bernama